Oleh: Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Mengikut kenyataan daripada Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) bertarikh 30 Disember 2024, pada suku ketiga 2024, sektor kewangan Negara Brunei Darussalam merekodkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus dengan nilai aset keseluruhan sebanyak $24.3 bilion di mana $14.3 bilion iaitu 58.7 peratus merupakan aset kewangan Islam.
“Ini menunjukkan pertumbuhan kewangan Islam yang sangat ketara dalam membangunkan ekonomi kewangan di negara ini.”
“Diharapkan pertumbuhan kewangan Islam terdiri daripada pasaran modal, perbankan dan insurans Islam (takaful) semakin tumbuh berkembang pada masa akan datang yang boleh membantu meningkatkan ekonomi negara dengan lebih berdaya saing untuk menjadikan Brunei Darussalam sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.”
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Badan Penasihat Syariah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd dan Anak-anak Syarikatnya, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dalam ucapannya di Majlis Perasmian Pelancaran Produk-produk TBK Al-Ikhtiyar yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong kelmarin.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/2-TBK-4.jpg)
Beliau turut menyatakan bahawa pertumbuhan kewangan Islam pada masa ini, semakin pantas bergerak dengan adanya transaksi digital produk dan perkhidmatan.
“Takaful Brunei juga tidak ketinggalan dalam arus teknologi, walaupun teknologi semakin pantas bergerak, kita adalah diingatkan untuk tidak lari dari memastikan produk-produk yang dihasilkan adalah senantiasa mematuhi kehendak syarak dan berpandukan kepada Maqasid Syariah sebagai satu asas utama dalam pembangunan kewangan Islam.”
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz dalam ucapannya menyatakan bahawa setiap individu perlu memiliki tahap kesedaran kewangan yang tinggi dan lebih peka mengenai cara-cara untuk menguruskan pendapatan dan perbelanjaan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/2-TBK-3.jpg)
“Dalam konteks ini, perancangan kewangan bukan sekadar soal menguruskan kewangan, tetapi juga melibatkan pendidikan kewangan yang berterusan untuk membina masyarakat yang lebih celik kewangan dan berdaya saing.”
Dalam hal itu, beliau menyatakan bahawa perancangan kewangan bukan sahaja bertujuan untuk mencapai kekayaan duniawi tetapi lebih utama lagi untuk memastikan bahawa segala yang kita peroleh dan gunakan berada dalam kerangka yang halal, berkat dan bermanfaat.
Inisiatif Takaful Brunei dalam mempelbagaikan instrumen simpanan sekali gus perlindungan takaful kepada orang ramai dengan cara yang mudah merupakan satu langkah yang terpuji, tegas Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz, yang bukan sahaja boleh membantu orang ramai dalam meningkatkan lagi perolehan simpanan mereka dalam masa yang sama memberi perlindungan takaful apabila berlaku kejadian yang tidak diingini.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/2-TBK-7.jpg)
“Inisiatif ini sangat penting dalam meningkatkan budaya menabung dengan membuat perancangan kewangan yang lebih sistematik dan mematuhi prinsip Syarak bagi keperluan individu masing-masing sama ada untuk pendidikan, persediaan persaraan nanti atau bagi keperluan menunaikan fardhu haji,” tambahnya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/2-TBK-10.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/2-TBK-9.jpg)