Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Sektor pelancongan Negara Brunei Darussalam merupakan sektor yang amat berpotensi ke arah usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara dan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan serta usaha kepelbagaian ekonomi bukan minyak dan gas negara.
Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) terus komited dalam usahanya untuk mengembangkan lagi sektor pelancongan negara, di mana pelancongan menjana kesan pengganda menerusi penjanaan pekerjaan dan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam industri perkhidmatan pelancongan dan penghasilan produk.
Perkembangan itu dapat disaksikan dalam pembangunan bidang pengangkutan, gastronomi, penginapan, rekreasi, hiburan, industri kreatif, pelancongan dan sektor perniagaan di dalam industri pelancongan.
Sementara itu, dalam Pelan Strategik KSSUP bagi 2016-2020, beberapa buah inisiatif telah dikenal pasti dan dilaksanakan termasuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan dan produk-produk bagi pelancongan asas, baru dan produk berasaskan kegiatan pelancongan.
Menerusi usaha-usaha berkenaan, negara kini boleh menyaksikan hasil yang positif di mana data dari Jabatan Kemajuan Pelancongan di bawah KSSUP, menunjukkan bahawa jumlah kedatangan pelancong ke Brunei dijangka meningkat sebanyak kira-kira 10 peratus pada 2017 jika dibandingkan dengan hanya 0.3 peratus pada 2016.
Usaha dan perkembangan positif sektor pelancongan itu dikongsi oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong ketika berucap di Persidangan dan Pameran Pelancongan Antarabangsa yang berlangsung di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Beliau menambah bahawa pertumbuhan positif itu adalah disebabkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif produk baru termasuk Jejak Warisan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer, mempromosikan pakej-pakej destinasi Tutong, pakej-pakej destinasi Belait, pakej menyelam Brunei, pakej destinasi percutian Temburong dan terkini Festival Disember Brunei.
“Dengan menjana dan mempromosikan produk-produk kegiatan berasaskan pelancongan, asas dan membangun yang telah dikenal pasti dalam pelan strategik Jabatan Kemajuan Pelancongan dan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, produk dan kemudahan pelancongan, kita bergerak menuju laluan yang positif ke arah mencapai sasaran jabatan iaitu untuk meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini.”
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata, dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Tahun Baru 2018 Masihi, Baginda menekankan pentingnya untuk menyokong perkembangan negara menerusi kerjasama yang erat antara pihak kerajaan, sektor swasta dan rakyat serta penduduk negara.
Perkara itu adalah penting kerana hanya dengan kerjasama yang erat itu, dapat menjana suasana perniagaan dan komersial yang lebih mudah dan dapat menjadikan Brunei lebih menarik di mata pelabur-pelabur asing.
Oleh itu, Persidangan dan Pameran Pelancongan Antarabangsa yang diadakan merupakan sebahagian daripada produk aktiviti berasaskan pelancongan, yang mana ia mengumpulkan penyelidik tempatan dan antarabangsa serta pihak-pihak yang berkepentingan dalam sektor pelancongan untuk membincangkan pelbagai tema dalam pelancongan.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata, walaupun terdapat persaingan untuk menarik minat pelancong dan perubahan trend dalam pelancongan, kementeriannya terus berusaha untuk membangunkan sektor pelancongan Brunei dan meningkatkan jumlah pelawat serta mengamalkan pelancongan mampan iaitu untuk mengimbangkan jumlah kemasukan pelawat dengan kapasiti landskap negara khususnya di dalam hutan hujan negara yang kaya.
Pelancongan mapan dikenal pasti sebagai penyumbang signifikan kepada tiga dimensi pembangunan mapan kerana ia meliputi hubungan yang erat dengan sektor lain serta keupayaannya untuk menjana peluang pekerjaan dan peluang perdagangan.
“Pertumbuhan pelancongan dan pembangunan mapan harus bergerak selari. Penerapan kemapanan dalam pembangunan pelancongan kita adalah amat penting sekali,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.
Beliau menyatakan lagi bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menekankan bahawa perlunya untuk menyokong kegiatan pelancongan mapan dan pembangunan kapasiti yang relevan bagi mempromosikan kesedaran alam sekitar, memulihara dan melindung alam semula jadi, menghormati hidupan liar, flora, biodiversiti, ekosistem dan kepelbagaian budaya serta untuk meningkatkan kebajikan dan kehidupan komuniti setempat.
Katanya lagi, pembangunan pelancongan memerlukan dan harus mempromosikan penyertaan pihak yang berkepentingan yang merangkumi pelbagai sektor termasuk komuniti setempat.
Menerusi dialog dan kerjasama di antara pelbagai pihak yang berkepentingan, jelasnya lagi, ia mampu untuk menjana ekonomi hijau dan mampan termasuk mengurangkan pembaziran tenaga, pemuliharaan warisan budaya dan biodiversiti, pengurangan kemiskinan, mempromosikan kesaksamaan, meningkatkan kesejahteraan, melindungi sambil mempromosikan warisan alam semula jadi dan budaya serta mengukuhkan hubungan di antara masyarakat setempat yang amat berpengetahuan mengenai budaya-bio landskap di Brunei dan Asia Tenggara.
Mengulas mengenai kelebihan saingan Brunei, Yang Berhormat Dato berkata, ia adalah lokasi Brunei di mana negara terletak di pulau ketiga terbesar di dunia serta berada di tengah Asia Tenggara.
Di samping itu, Borneo juga amat unik di mana ia merangkumi tiga buah negara ASEAN yang kaya daripada segi sejarah, warisan dan sumber aslinya serta berpotensi untuk mempunyai ekopelancongan yang aktif dan sihat.
Beliau berkata lagi, Brunei sebagai sebahagian daripada Borneo berkongsi satu matlamat yang sama dan bekerjasama dengan dua buah negara utama di pulau berkenaan menerusi inisiatif Nadi Borneo.
Nadi Borneo mempromosikan usaha untuk memperkasakan masyarakat setempat untuk mengurus pelancongan merentas dan dalam sempadan di mana ia memudahkan dan menjadikan pelancongan lebih menarik.
Di samping itu, Nadi Borneo menerusi penyertaan masyarakat berusaha untuk mencari keseimbangan antara ekosistem yang bertenaga termasuk warisannya dengan pembangunan pelancongan yang menyumbang ke arah ekonomi ketiga-tiga buah negara di Borneo.