Pertumbuhan pendapatan Huawei meleset

SHANGHAI, 23 OKT – Pertumbuhan pendapatan Huawei meleset dalam sembilan bulan pertama 2020, kata syarikat gergasi telekom China hari ini, memetik ‘tekanan besar’ ke atas operasi semasa koronavirus dan ketika Amerika Syarikat (AS) bertindak memutuskan akses kepada komponen penting.

Huawei, pembekal terkemuka global peralatan rangkaian telekom dan pengeluar telefon pintar, berkata ia memperoleh 671.3 bilion yuan dalam pendapatan dalam tempoh Januari hingga September, meningkat 9.9 peratus tahun-ketahun.

Angka tersebut merosot daripada pertumbuhan 24.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu, sementara margin keuntungannya merosot kepada 8 peratus daripada 8.7 peratus tahun lalu.

Washington menganggap Huawei, ditubuhkan pada 1987 oleh bekas jurutera Tentera Pembebasan Rakyat Ren Zhengfei, sebagai ancaman pengintipan China dan telah melobi sekutu supaya memulaukan peralatannya sementara berusaha menyekat aksesnya kepada bekalan semikonduktor global.

“Tatkala dunia bergelut dengan COVID-19, rangkaian bekalan global Huawei menerima tekanan hebat dan pengeluaran dan operasinya menghadapi kesukaran yang meningkat,” kata syarikat.

Ia berjanji akan ‘melakukan yang terbaik untuk mencari penyelesaian, untuk bertahan dan maju ke depan.”

Semasa pelancaran dalam talian telefon pintar terbaharu syarikat semalam, CEO produk pengguna Huawei Yu Chengdong berkata syarikat ‘terkesan’ daripada tekanan hebat AS, yang digelarnya ‘tidak adil.’

“Bagi Huawei, kami berasa berada dalam keadaan amat sukar sekarang,” kata Yu. – AFP

Pelanggan melihat telefon bimbit Mate40 Huawei yang baru dilancarkan di kedai Huawei di Shanghai kelmarin. – AFP