Jumaat, 21 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertumbuhan S’pura diramal melonjak sebab AI

    SINGAPURA, 21 NOV – Ekonomi Singapura diramalkan bertumbuh untuk 2025 didorong oleh suku ketiga (Q3) yang lebih kukuh apabila lonjakan permintaan untuk eksport yang digerakkan oleh barangan berkaitan AI dan perdagangan global menjadi stabil.

    Kementerian perdagangan kini menjangkakan ekonomi akan berkembang sekitar 4.0 peratus tahun ini, jauh melebihi ramalan 1.5-2.5 peratus yang ditetapkan pada Ogos lalu.

    Tinjauan yang lebih kukuh ini datang susulan pemulihan 4.2 peratus tahun ke tahun pada Q3, melanjutkan pertumbuhan 4.7 peratus yang disemak semula yang dicatatkan pada Q2, kata kementerian itu.

    Ramalan pada hari ini datang ketika pasaran di seluruh dunia alami kebimbangan bahawa kenaikan pasaran ekuiti yang didorong oleh AI mungkin telah keterlaluan, dan bahawa pelaburan dalam sektor ini mungkin tidak akan mendapat pulangan untuk beberapa ketika.

    Sektor pembuatan, perdagangan borong dan perkhidmatan kewangan memacu pengembangan Singapura pada Q3, kata kementerian itu.

    Kelompok elektronik berkembang 6.1 peratus, didorong oleh lonjakan permintaan untuk semikonduktor, pelayan dan komponen pelayan berkaitan AI, selain bioperubatan, yang merangkumi farmaseutikal turut berkembang 8.9 peratus, tambah kementerian itu.

    Pertumbuhan dalam sektor perdagangan borong sebahagian besarnya disebabkan oleh jumlah jualan yang kukuh dalam peralatan jentera, yang juga berkaitan dengan permintaan dunia untuk peralatan elektronik berkaitan AI, tambah kementerian itu.

    Keadaan ekonomi global untuk tiga bulan hingga September, “ternyata lebih berdaya tahan daripada yang dijangkakan”, kata kementerian itu. “Ledakan AI yang lebih kukuh daripada yang dijangka telah beri sokongan kepada pertumbuhan ekonomi AS dan untuk eksport semikonduktor berkaitan AI dari rantau ini,” katanya.

    Selain itu, kementerian turut berkata, “ketegangan perdagangan juga turun dalam beberapa bulan kebelakangan ini” selepas gencatan senjata perdagangan AS-China dilanjutkan sehingga November 2026 juga turut membantu meningkatkan pertumbuhan. – AFP

    Pemandangan di Marina Bay Sands, Singapura. AI bantu ramalan pertumbuhan ekonomi. – Gambar hiasan Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda