Friday, March 14, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertunjukan bunga api di Sydney mungkin dibatalkan

    SYDNEY, 20 DIS – Sambutan Tahun Baharu Sydney yang terkenal dengan pertunjukan bunga api ikoniknya berdepan risiko pembatalan akibat tindakan mogok oleh pekerja kereta api, menurut polis New South Wales (NSW).

    Pertunjukan itu menarik sehingga 250,000 pengunjung ke Sydney dan mereka perlu pulang selepas itu, kata Pesuruhjaya Polis New South Wales Karen Webb.

    “Sekiranya perkhidmatan kereta api tidak tersedia dan orang ramai tidak dapat meninggalkan bandar, saya amat bimbang terhadap risiko yang boleh berlaku kepada keselamatan awam,” katanya kepada pemberita.

    “Jadi saya tidak menolak kemungkinan kami akan mengesyorkan kepada kerajaan supaya kami membatalkan bunga api itu.”

    Perdana Menteri NSW, Chris Minns, telah menolak tuntutan kenaikan gaji yang dianggap ‘terlalu tinggi’ oleh kesatuan pekerja. Satu perjumpaan berhubung isu itu dijadualkan berlangsung minggu depan di tribunal hubungan industri negara.

    Setiausaha Kesatuan Kereta Api, Trem dan Bas Negeri, Toby Warnes berkata pihaknya tidak berniat menyusahkan orang ramai. Beliau menuduh kerajaan negeri menakut-nakutkan penduduk NSW bagi menyokong strategi industri tertentu. – AFP

    Gambar pertunjukan bunga api di atas Jambatan Sydney Harbour dan Sydney Opera House semasa sambutan Tahun Baharu pada 1 Januari lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda