Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertunjukan trashion serlah kreativiti, kelestarian SM Sayyidina Husain

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Sekolah Menengah Sayyidina Husain terus kukuhkan komitmennya terhadap pemeliharaan alam sekitar melalui penganjuran Trashion: Sustainable Fashion Show yang berlangsung di dewan sekolah kelmarin.

    Acara tersebut menampilkan rekaan pakaian kreatif yang dihasilkan sepenuhnya daripada bahan terpakai dan sisa buangan, selaras dengan usaha sekolah dalam memupuk kesedaran dan tanggungjawab alam sekitar dalam kalangan pelajar.

    Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang, yang disempurnakan oleh Pengetua Sekolah, Cikgu Nor’izzah binti Haji Othman.

    Penganjuran program ini adalah seiring dengan pelaksanaan Pelan Pendidikan Hijau Brunei, yang mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035, Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP), serta keutamaan kementerian dalam memperkasa pembangunan mampan dan budaya hijau dalam institusi pendidikan.

    Melalui platform seperti Pertunjukan Trashion, pihak sekolah berusaha menyokong visi nasional untuk membentuk masyarakat yang bertanggungjawab, celik iklim dan berdaya lestari.

    Pertunjukan pada tahun ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pelajar mengenai kesan sisa buangan terhadap alam sekitar, memupuk kesedaran mengenai kepentingan amalan kitar semula dan penggunaan semula, di samping mengembangkan kreativiti, kemahiran reka bentuk, penyelesaian masalah serta semangat kerjasama melalui tugasan berasaskan projek.

    Acara ini menerima penyertaan yang menggalakkan daripada pelajar Tahun 7 hingga Tahun 11, termasuk pelajar Program Pra-Vokasional. Setiap rekaan yang dipersembahkan memperlihatkan tahap kreativiti, kepekaan dan daya imaginasi yang tinggi, dengan setiap busana membawa mesej yang menekankan nilai kelestarian serta kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar.

    Program tersebut turut disokong oleh beberapa kelab sekolah seperti Kelab Kreatif, Kelab Usahawan Muda, Kelab STEM, Kelab Spelling Bee, dan Kelab Bahasa Jepun, yang membantu menjayakan acara dan menambah seri serta keterlibatan komuniti sekolah.

    Melalui penganjuran acara ini, Sekolah Menengah Sayyidina Husain terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan pendidikan berteraskan kelestarian, sekali gus menyediakan ruang kepada para pelajar untuk menonjolkan kreativiti, inovasi dan kesedaran sosial.

    Acara ini turut membuktikan bahawa bahan terbuang mampu diangkat menjadi karya fesyen yang bernilai serta berfungsi, apabila diolah dengan pemikiran kreatif dan visi yang berkesan.

    Semua di atas: Antara suasana semasa acara berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN SM SAYIDDINA HUSAIN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda