Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peru bersiap sedia jadi tuan rumah AELW ke-31

    LIMA, 10 NOV – Ibu negara Peru, Lima, bersiap sedia dengan kawalan keselamatan yang ketat untuk menganjurkan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ketiga, acara penting yang menekankan peranannya sebagai pengerusi forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun ini untuk meliberalisasikan lagi perdagangan dalam kalangan ekonomi serantau.

    Sebuah negara yang terletak di barat Amerika Selatan, bersempadan de-ngan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur, pernah menjadi tuan rumah untuk AELW sebelum ini pada 2016 dan 2008.

    Bertemakan Empower. Include. Grow., AELW ke-31 bermula dengan Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) yang keempat pada 10 November, diikuti dengan penutupan Mesyuarat Pegawai Kanan dan Mesyuarat Peringkat Menteri.

    Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif dijadualkan pada 14 hingga 15 November, Dialog Pemimpin Ekonomi APEC dengan ABAC dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 16 November, yang akan dipengerusikan oleh Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra.

    Peru dijangka mengetuai pemimpin APEC dalam menerima pakai Pelan Induk Lima 2024 untuk Menggalakkan Peralihan kepada Ekonomi Formal dan Global dan Kenyataan Ichma mengenai Pandangan Baharu untuk memajukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), menggariskan komitmen rantau ini dalam menangani cabaran global dan memacu Visi Putrajaya APEC 2040.

    Mesyuarat itu, yang menghimpunkan pemimpin dari 21 ekonomi anggota dari seluruh rantau Asia Pasifik, akan menjadi detik penting bagi Peru ketika ia mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam diplomasi ekonomi global.

    Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang berada dalam bulan-bulan terakhir sebagai presiden sebelum menyerahkan Pejabat Oval kepada Donald Trump yang memenangi pilihan raya presiden AS, antara pemimpin utama yang dijangka hadir di AELW di sini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengetuai delegasi Malaysia, dijangka tiba di sini pada 12 November, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan. – Bernama

    Gambar bertarikh 10 November 2024 menunjukkan ibu kota Peru bersiap sedia dengan keselamatan yang ketat untuk menjadi tuan rumah AELW ketiganya. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda