Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peru isytihar kecemasan kesihatan

    LIMA, 27 FEB – Peru mengisytiharkan kecemasan kesihatan di kebanyakan wilayahnya kelmarin berikutan peningkatan jumlah kes denggi yang berlaku pada masa suhu yang lebih tinggi daripada biasa disebabkan oleh pola cuaca El Nino.

    Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, jumlah kes denggi yang didaftarkan dalam tempoh tujuh minggu pertama tahun ini adalah dua kali lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2023, dengan lebih 31,000 kes direkodkan.

    “Ini adalah masalah serius,” kata Menteri Kesihatan, Cesar Vasquez minggu lalu, sebelum darurat diisytiharkan. “Dan ia semakin tidak terkawal.”

    Kecemasan kesihatan membenarkan kerajaan negara itu memindahkan dana dengan lebih cepat ke wilayah yang terjejas dan juga penghantaran doktor dan jururawat.

    Ia akan meliputi 20 daripada 24 wilayah negara, termasuk wilayah yang mengelilingi ibu negara Lima.

    Wabak denggi tahun lalu menyebabkan sistem kesihatan awam Peru dibebani apabila ribuan mendapatkan rawatan di bilik kecemasan.

    Penyakit ini disebarkan oleh Aedys Egypti, nyamuk yang membiak dalam cuaca panas dan lembap.

    Walaupun kebanyakan kes denggi menunjukkan simptom ringan, penyakit ini boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk, demam dan sakit otot.

    Tahun lepas, wabak denggi di Peru menyebabkan 18 orang meninggal dunia, manakala dalam dua bulan pertama tahun ini, 32 rakyat Peru telah meninggal dunia akibat virus itu.

    Pada Disember, Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata bahawa wabak denggi Peru 2023 berkaitan dengan hujan dan suhu panas yang membantu populasi nyamuk membiak dan meningkat, terutama di kawasan utara negara itu. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda