LIMA, 29 OKT – Peru melancarkan amaran epidemiologi kebangsaan selepas mengesan kes difteria pertama dalam tempoh 20 tahun, umum Kementerian Kesihatan negara ini semalam.
Pihak berkuasa memaklumkan jangkitan itu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Lima.
Mangsa pernah menerima vaksin difteria ketika dilahirkan, namun tidak mendapat vaksinasi seterusnya selepas berusia dua tahun enam bulan yang boleh memberi imunisasi selama 10 tahun.
Timbalan Menteri Kesihatan, Luis Suarez, berkata justeru kanak-kanak itu dianggap sebagai tidak divaksin.
Beliau berkata kes terakhir jangkitan difteria sebelum ini di Peru ialah pada 2000.
Difteria adalah penyakit sangat mudah berjangkit dan berpotensi membawa maut, dengan lazimnya memberi kesan terhadap hidung dan tekak, selain kadang-kadang pada kulit. “Ia menghasilkan plak berwarna putih di bahagian atas saluran pernafasan, demam panas dan kesakitan ketika menelan.
“Penyakit ini boleh menyebabkan masalah pernafasan amat serius dengan kadar kematian boleh melebihi 10 peratus,” katanya. – AFP
