LIMA, 18 APRIL – Kerajaan Peru kelmarin telah mengumumkan lanjutan perintah darurat selama 30 hari di 157 daerah melibatkan 20 wilayah ekoran hujan lebat yang berterusan, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut dekri yang diterbitkan dalam akhbar rasmi El Peruano, langkah itu akan berkuat kuasa mulai 22 April di kawasan-kawasan terjejas termasuk di Amazonas, Ancash, Cusco, Huancavelica, Huanuco, La Libertad, Lima, Loreto, Madre de Dios, Piura dan beberapa lagi.
Kerajaan menjelaskan keputusan itu dibuat bagi meneruskan pelaksanaan langkah-langkah kecemasan segera dan tindakan susulan dalam menghadapi kesan bencana alam luar biasa.
Dekri itu turut mendedahkan beberapa tindakan penting yang belum dilaksanakan telah dikenal pasti, khususnya berkaitan pelaksanaan penyelesaian perumahan serta pemulihan perkhidmatan bekalan air.
Menurut laporan terbaharu oleh Institut Pertahanan Awam Kebangsaan, sebanyak 5,430 insiden kecemasan dilaporkan berlaku, dengan lebih 3,500 daripadanya berpunca daripada hujan lebat antara Disember 2024 hingga Mac 2025.
Insiden yang dilaporkan termasuk kejadian tanah runtuh, banjir dan runtuhan yang menjejaskan 187,486 orang.
Seramai 91 orang dilaporkan maut, manakala 14 lagi masih hilang akibat bencana itu. – Bernama
