LOS ANGELES, 11 SEPT – Peru menebus kekecewaan mereka atas kekalahan kepada Brazil pada final Copa Amerika dengan menewaskan pemenang lima kali Piala Dunia itu, 1-0, dalam aksi persahabatan di Los Angeles awal pagi tadi.
Satu tandukan gol pemain pertahanan, Luis Abram, sudah cukup untuk memberikan Peru satu kemenangan sukar ke atas Brazil.
Brazil, yang menewaskan Peru 3-1 di final Copa Amerika di Rio de Janeiro pada Julai, gagal mempamerkan permainan yang diharapkan sekali gus mengecewakan 32,287 penyokong di Los Angeles Memorial Coliseum.
Kekalahan itu telah menamatkan 17 kemenangan berturut-turut Brazil, satu rentetan sejak kemenangan ke atas Amerika Syarikat setahun yang lalu.
Sementara itu, jurulatih Brazil, Tite memilih untuk tidak menyenaraikan Neymar dalam kesebelasan utamanya, empat hari selepas pemain itu membuat aksi kembali setelah pulih daripada kecederaan, yang menyaksikan Neymar meledakkan satu gol dan menghasilkan dua umpanan gol dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 menentang Colombia minggu lepas.
Tite, yang keberatan untuk menurunkan Neymar dalam perlawanan berturut-turut kerana bimbang mengenai kecergasan pemain itu, terpaksa memasukkan penyerang PSG itu pada minit ke-63 dengan menggantikan Roberto Firmino.
Kemasukan Neymar telah meningkatkan tempo serangan, namun Brazil masih gagal memecahkan kebuntuan.
Sebaliknya, Peru menemui sasaran apabila Abram menanduk masuk hantaran sepakan percuma Yoshimar Yotun bagi gol kemenangan perlawanan. – AFP