RIO DE JANEIRO, 17 OKT – Kerajaan baharu Peru merancang untuk mengisytiharkan darurat di ibu negara Lima dan wilayah sekitarnya berikutan pertempuran ganas dilaporkan media yang mencederakan berpuluh-puluh anggota polis, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Beberapa langkah diumumkan, termasuk perintah berkurung sebagai persediaan kerajaan bagi pihak presiden, kata Perdana Menteri, Ernesto Alvarez kelmarin.
Alvarez memberi contoh peningkatan jenayah di ibu negara sebagai alasan untuk darurat yang dirancang itu.
Akhbar El Comercio melaporkan Datuk Bandar Lima, Renzo Reggiardo meminta presiden pada petang kelmarin untuk menyekat akses ke kawasan bandar lama yang bersejarah kerana kebimbangan akan berlaku rusuhan.
Barisan menteri akan terus bermesyuarat sehingga pakej langkah itu dimuktamadkan, membolehkan darurat dilaksanakan ‘dengan substantif dan kebenaran’ secepat mungkin, kata Alvarez.
Protes di Lima mengakibatkan pertempuran ganas. Media Peru melaporkan seorang penunjuk perasaan maut akibat tembakan selain terdapat anggota polis yang cedera.
Alvarez dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Presiden baharu, Jose Jeri, pada Selasa.
Negara yang berpopulasi 34 juta penduduk itu telah dibelenggu kekacauan politik selama berbulan-bulan. – Bernama


