Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan caj perkhidmatan EES ringankan beban

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DISEMBER – Rata-rata rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam berpuas hati dan gembira setelah diumumkan mengenai caj perkhidmatan bagi Sistem Keluar dan Masuk (EES) yang dikenakan ke atas setiap kenderaan sahaja bagi mereka yang membuat perjalanan melalui kesemua pos kawalan darat di Negara Brunei Darussalam mengikut kadar-kadar tertentu.

    Berita gembira tersebut sangat memberikan kesan yang positif terutama bagi mereka yang berkeluarga besar dan berpendapatan rendah yang hendak melancong ke negara jiran menggunakan kenderaan.

    Sebelum 12 Disember 2022, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah mengenakan caj berkenaan sebanyak $3 satu hala perjalanan bagi setiap orang yang dalam sebuah kenderaan.

    “Peniadaan caj bagi setiap orang ini sangat meringankan beban untuk mereka yang berkeluarga, tambahan lagi jika keluarga itu mempunyai jumlah yang ramai,” demikian telah dikongsikan oleh salah seorang penduduk di negara ini, Haji Hassan bin Haji Mudin, yang berusia 63 tahun.

    Haji Hassan semasa ditemui baru-baru ini.

    “Kita boleh bayangkan jika sesebuah keluarga itu mempunyai 10 orang, untuk pergi dan balik mereka perlu membayar jumlah keseluruhan $60. Jumlah itu merupakan satu jumlah yang besar bagi mereka yang berpendapatan rendah.”

    “Alhamdulillah, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduknya.

    Menurutnya, dengan adanya pelonggaran ini, beliau berpendapat pasti ramai rakyat dan penduduk gembira terutama mereka yang berpendapatan rendah.

    “Mungkin dengan melancong ke Miri atau Kota Kinabalu menggunakan kenderaan sahaja yang mereka mampu, oleh itu inisiatif ini sedikit sebanyak dapat menolong meringankan bebanan mereka,” tambah Haji Hassan lagi.

    “EES yang baru dikemas kini ini jelas sangat membantu keluarga melancong ke luar negara dengan pengurangan jumlah bayaran yang perlu dibuat yang sebelum ini $3 setiap kepala untuk perjalanan sehala,” kongsi Awang Khairul, 37 tahun.

    “Saya juga berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam membuat perubahan mengenai perkara ini,” tambahnya, yang ketika ini sedang melancong di Kota Kinabalu, Sabah.

    Beliau pasti ia membantu ramai orang lain terutamanya mereka yang melawat saudara-mara mereka di luar negara seperti di Miri, Lawas, Sipitang dan Kota Kinabalu, yang mendapat manfaat daripada perubahan dalam pembayaran tersebut.

    Manakala seorang lagi rakyat Brunei juga mengongsikan pendapat beliau.

    “Kami tidak mampu untuk membawa keluarga melancong menggunakan kapal terbang, hanya dengan melancong ke negara jiran menggunakan kenderaan sahaja kami dapat,” kata Dayang Hafsah, 42, yang membawa lima orang anak.

    “Dengan adanya pelonggaran pembayaran ini, tambahan lagi ia diumumkan tepat semasa musim cuti persekolahan, ia adalah berita yang sangat menggembirakan buat kami sebagai ibu bapa,” katanya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda