BEIRUT – Orang-orang Lubnan sentiasa berbangga dengan pokok cedar atau araz, atau Cedrus Libani yang ditampilkan di tengah-tengah bendera kebangsaan mereka.
Walau bagaimanapun, situasi semasa pokok kebangsaan itu adalah membimbangkan dengan hanya 3 peratus daripada negara itu diliputi pokok tersebut, atau kira-kira 17 kilometer persegi.
Alain Daou, pengarah Pusat Pemuliharaan Alam Semula Jadi di American University of Beirut (AUB) memberitahu Xinhua penternakan kambing dan biri-biri secara intensif, serta perubahan iklim telah memberi kesan ke atas pokok araz di Lubnan.
Daou berkata hutan araz yang terletak di bahagian utara negara tersebut mempunyai peluang lebih tinggi untuk terselamat daripada kesan perubahan iklim, mencadangkan langkah pemuliharaan hutan tersebut dengan menanamnya di kawasan beraltitud tinggi untuk keadaan suhu dan kelembapan yang lebih sesuai.
Samer Khawand, pakar pertanian di Kementerian Pertanian Lubnan, memberitahu Xinhua bahawa memulihara hutan cedar memerlukan usahasama antara kerajaan dan masyarakat.


“Adalah baik untuk menggunakan dron untuk menebarkan biji-biji pokok araz ke atas salji secara langsung, memberikan ia kesejukan yang diperlukan untuknya tumbuh membesar,” kata Khawand.
Ketika ini, hutan araz terbesar di hutan simpan Shouf, merangkumi sebanyak 20 peratus daripada jumlah keseluruhan di Lubnan.
Beberapa daripada hutan araznya termasuk sebahagian daripada hutan-hutan simpan seperti di Barouk, Maaser El Shouf, Niha, Ehden, dan Tannourine, sementara pokok-pokok araz di Qammouaa disenaraikan sebagai kawasan semula jadi yang dilindungi, dan seperti juga hutan-hutan terlindung di Jaj, Sir El Dinnyeh dan Sweisse.
Khawand berkata, Maaser El Shouf, menyaksikan kerjasama dengan komuniti tempatan dalam menguruskan hutan tersebut.
Manakala, Daou menekankan mengenai usaha yang dibuat oleh pegawal-pengawal tempatan dan para petugas di hutan simpan Tannourine di mana pokok-pokok araz dianggap sebagai spesies terancam semenjak 1998.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui akan keperluan melibatkan masyarakat untuk proses penghutanan semula. “Kerajaan Lubanan juga perlu memperkenalkan insentif ekonomi bagi para penduduknya yang tinggal di sekitar hutan-hutan simpan untuk melindungi pokok-pokok araz.”
Kerajaan Lubnan, selain itu, telah melancarkan beberapa insiatif untuk melindungi harta karun negara itu. Langkah paling penting yang diambil adalah mengisytiharkan hutan-hutan cedar sebagai hutan simpan atau hutan-hutan terlindung, dengan jawatankuasa pengurusannya bekerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar Lubnan.
Tambahan lagi, nilai simbolik dan kebudayaan pokok-pokok araz menggalakkan usaha kebangsaan untuk mencari dana luar bagi tujuan pemuliharaan, menurut Pusat Pemuliharaan Alam Semula Jadi AUB.
Kementerian Alam Sekitar Lubnan telah melancarkan projek kebangsaan pada 2004 bertajuk ‘Pengurusan Berintegrasi Hutan-hutan Araz di Lubnan dengan Kerjasama Negara-negara Mediterranean’ untuk menyumbang kepada pengurusan hutan araz dan perlindungan daripada serangga-serangga perosak.
Serta, lebih daripada 600,000 pokok araz telah pun ditanam di Lubnan semenjak 2011 dengan bantuan kementerian-kementrian alam sekitar dan pertanian, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan institusi-institusi saintifik dalam negara.
Selain itu, Kementerian Pertanian Lubnan, dengan kerjasama Pertubuhan Makanan dan Pertanian, telah mengisytiharkan pelan baru penghutanan semula pada 2014 untuk menanam sebanyak 40 juta pokok di negara itu dengan kira-kira sebanyak 12 juta telah ditanam setakat ini. – Xinhua