Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan iklim ancam tradisi penuaian kurma

    ATAR, MAURITANIA – Berjalan-jalan di atas bukit pasir kecil di tengah Mauritania, Aliene Haimoud merenung dengan sedih pada pokok-pokok kurma yang menguning di hadapannya, pokok-pokok itu sudah mati walaupun belum tiba masanya.

    Kemunculan padang pasir melanda perkampungan oasis Azougui, kira-kira 450 kilometer timur laut Nouakchott, ibu negara Afrika Barat.

    Meskipun dengan pasir secara beransur-ansur menelan pokok-pokok berkenaan, penduduk di sini bersiap sedia untuk Guetna – penuaian kurma tahunan.

    Acara popular itu berakar umbi dalam tradisi nomad yang panjang dan melibatkan perayaan keluarga besar yang berpusat di sekitar buah-buahan yang kecil dan manis itu – sumber pendapatan utama rantau ini.

    “Awda pergi daripada 10 hingga 1,000 kawan,” kata seorang penduduk tempatan dengan ceria.

    Aliene Haimoud berjalan dekat pokok kurma yang diliputi oleh bukit pasir yang semakin membadai, di kampung Azougui, di wilayah Adrar di Mauritania. – AFP
    Petani Mohamed Mahmoud Ould Brihm bergambar di hadapan pokok kurmanya di oasis M’heiret. – AFP
    Seorang lelaki menarik dahan pokok kurma yang telah kering di M’heiret. – AFP
    Pemandangan pokok kurma yang diliputi oleh penampungan air empangan Seguelil, di wilayah Adrar di Mauritania, pada 23 Jun lalu. – AFP
    Pemandangan udara pokok kurma di M’heiret, sebuah kampung yang terletak di wilayah Adrar di Mauritania, pada 22 Jun. – AFP

    Tetapi apabila pokok-pokok kurma mati, sedikit daripada kehidupan di setiap kampung terpadam.

    “Kerana pasir, orang ramai terpaksa menetap di tempat lain, kerana di sini tidak ada lagi penuaian,” kata Haimoud, presiden persatuan koperasi tempatan.

    Hampir 20,000 pokok sawit telah musnah sejak 1980an dan kampungnya semakin
    sunyi setiap tahun, katanya.

    Seperti negara-negara lain di Afrika Barat dan rantau Sahel, Mauritania berada di
    barisan hadapan perubahan iklim.

    Suhu di rantau ini meningkat 1.5 kali lebih cepat daripada purata global, manakala hujan tidak menentu dan musim hujan semakin berkurangan, menurut laporan 2022 daripada Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Di Mauritania, kerajaan telah cuba menghentikan penggurunan dengan menanam pokok untuk menangkis serangan pasir.

    Tetapi varieti prosopis yang dipilih telah menyebabkan tanah menjadi lebih kering, seterusnya memburukkan lagi kerapuhan pokok-pokok palma berkenaan.

    Sekitar 70 kilometer ke selatan, oasis hijau M’Heiret juga telah musnah.

    Kira-kira 6,000 pokok palma, yang sudah lemah akibat kemarau bertahun-tahun, telah dihanyutkan dua tahun lalu oleh banjir besar di wadi – sungai yang terbentuk semasa musim hujan.

    Pokok-pokok berkenaan kini terletak di dasar sungai itu, yang benar-benar kering pada tempoh ini.

    “Tempat ini dulunya penuh dengan pokok-pokok palma,” kata Amou Dehah, yang merupakan datuk bandar kampung berkenaan ketika itu.

    “Pemilik-pemiliknya masih di sini, tetapi tiada apa-apa lagi untuk mereka,” tambahnya.

    “Jika tiada lagi pokok-pokok palma, tiada lagi kerja. Jika tiada kerja, tiada wang,” kata Dehah.

    “Kita perlu mencari penyelesaian. Jika tidak, orang akan pergi dan tinggal di tempat lain, kerana ini satu-satunya sumber pendapatan kami,” tambahnya.

    Di sebelahnya, Mohamed Mahmoud Ould Brihm, 56, berkata dia bimbang dengan 50 pokok palmanya yang ditanam berhampiran dengan wadi dan telah diwarisi turun-temurun.

    “Sudah tentu, saya takut kehilangan segala-galanya. Malah saya takut rumah saya akan musnah,” katanya.

    Penduduk M’Heiret, yang terkenal dengan kualiti dan kepelbagaian kurma, telah menggesa pembinaan empangan yang mereka katakan akan bertindak sebagai penampan terhadap hujan lebat pada masa hadapan dan mewujudkan keadaan pertumbuhan yang menggalakkan.

    “Empangan adalah penyelesaian terbaik,” kata Houdy Sidina, profesor biologi dan agronomi di Universiti Nouakchott.

    “Ia membantu memerangi kemarau, mengairi pokok-pokok palma dan mengelakkan banjir,” tambahnya.

    Sidina merujuk kepada Empangan Seguelil di wilayah itu, yang telah dirasmikan pada 2019, dan mengairi oasis di sekelilingnya secara kekal, mengubah kehidupan penduduk tempatan.

    Kerajaan juga telah menambah baik sistem pengairan, menyediakan panel solar dan menanam pokok-pokok kurma baharu untuk petani miskin, kata Sidi Ahmed, presiden rangkaian kumpulan untuk pembangunan mampan oasis.

    Di tamannya yang mengandungi sekitar 20 pokok palma berhampiran hab serantau Atar, Moustapha Chibany memetik kurma yang berair dan memecahkannya ke dalam mulutnya.

    “Apa yang menarik minat saya bukanlah aspek ekonomi, ia adalah kecintaan terhadap buah kurma. Tanpanya, tidak akan ada kehidupan di sini, dalam keadaan sukar seperti itu,” katanya.

    Berdepan dengan persaingan daripada kurma Afrika Utara, Chibany berkata bahawa berkongsi teknik-teknik paling berkesan, memerangi sisa dan mempromosikan spesies yang lebih berkualiti, akan membantu memulihkan industri Mauritania. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda