Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan iklim ancam tradisi Shishmaref

    SHISHMAREF, ALASKA – ‘Rumahku Syurgaku.’ Begitulah gambaran yang diberikan oleh Helen Kakoona untuk kampung halamannya Shishmaref di Alaska apabila ditanya bagaimana rasanya tinggal di pulau terpencil yang terletak berhampiran Garisan Artik.

    Rumah dan gaya hidup tradisional yang bertahan selama beribu-ribu tahun kini berdepan kepupusan, mudah terdedah kepada kesan perubahan iklim dengan kenaikan paras laut, hakisan serta kehilangan ais laut yang memberikan perlindungan kepada kawasan pantai.

    Banyak yang telah hilang sejak kebelakangan ini sehingga penduduk telah mengundi dua kali untuk berpindah.

    Namun Shishmaref masih kekal di tempat yang sama. Pemindahan akan menelan kos yang tinggi. Kampung Inupiat mempunyai 600 penduduk yang kebanyakannya menyara hidup dengan memburu anjing laut, menangkap ikan dan memetik buah beri. Ada di antara mereka bimbang jika mereka berpindah, mereka akan kehilangan cara hidup tradisional yang telah diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka.

    Pada hari biasa, pemburu akan menaiki bot semasa matahari terbit di lagun kampung dan pulang pada waktu petang dengan hasil tangkapan anjing laut. Kakoona dan ibunya akan membantu menguliti anjing laut menggunakan ‘ulu’ atau pisau wanita dan menyediakan bahan-bahan untuk mengawet daging anjing laut dalam proses yang mengambil masa beberapa minggu.

    Molly Snell (tengah), Tyler Weyiouanna dan Clifford berkumpul di meja makan untuk meraikan hari jadi Tyler di Shishmaref. – AP
    Pemburu anjing laut Thomas Pootoogooluk (kiri) dan Anthony memunggah tangkapan anjing laut ke pinggir lagun di Shishmaref, Alaska. – AP
    Kanak-kanak bermain di Shishmaref, Alaska. – AP
    Ombak kecil menghempas tembok laut di Shishmaref. – AP

    “Tidak ada tempat lain yang rasa seperti rumah sendiri di sini,” ujar Kakoona, 28. Dia cuba menetap di bandar berlainan, namun berakhir pulang ke Shishmaref untuk menemani ibunya, Mary Kakoona, 63.

    “Saya tahu kami perlu berpindah pada satu hari,” kata Mary merujuk kepada pemindahan yang ada kalanya nampak tidak dapat dielakkan. “Paras air semakin naik dan pulau ini menjadi makin kecil.”

    Shishmaref terletak di sebuah pulau yang mempunyai saiz satu suku batu lebar dan kira-kira tiga batu panjang. Ia adalah salah satu daripada beberapa dozen kampung Alaska yang diancam perubahan iklim.

    “Kami telah menetap di sini seumur hidup kami,” kata Ned Ahgupuk, seorang penduduk Shishmaref, yang pada hari biasa akan bersiar-siar di pantai ketika matahari terbenam bersama isteri dan anak lelaki mereka yang berusia satu tahun. Perubahan iklim agak membimbangkan, menurutnya, tetapi dia tetap tidak akan meninggalkan pulau itu.

    “Semua orang bagaikan sebuah keluarga besar yang sentiasa menjaga kesejahteraan dan keperluan satu sama lain,” katanya.

    Sadie McGill dan suami Tracy McGill juga berkongsi perasaan yang sama. Pada hari sejuk, mereka bermain dengan anak anjing di depan rumah tempat dia lahir dan membesar.

    Selepas menetap di luar negara, dia pulang ke kampung halamannya baru-baru ini untuk menjaga ibunya yang sudah uzur. Kesan perubahan iklim membuatnya bimbang dan dia rela berpindah tetapi dia memilih untuk kekal tinggal di kampung tersebut.

    “Adalah menyedihkan melihat kampung halaman kami lenyap ditelan lautan,” katanya. “Saya mahu tinggal di sini di mana kami lahir dan membesar – dan di mana kami tahu bagaimana meneruskan kelangsungan hidup.”

    Penduduk Shishmaref adalah ‘pintar akal, mereka tidak mudah berputus asa,’ kata Rich Stasenko, yang tiba di Shishmaref untuk mengajar di sebuah sekolah tempatan pada pertengahan 70-an dan tidak pernah meninggalkan kawasan itu.

    Penduduk di sana mungkin telah mengundi untuk berpindah, namun mereka belum melakukannya. Tidak adanya wang yang cukup untuk membiayai pemindahan. Tempat yang dipilih tidak sesuai dan paling penting, tidak adanya tempat lain seperti Shishmaref.

    “Untuk berpindah ke tempat lain, kami akan kehilangan sebahagian daripada identiti kami.

    Sukar untuk membayangkan diri saya tinggal di tempat lain,” ujar Weyiounna, di mana keluarganya pertama datang ke Shishmaref dengan kumpulan kereta geluncur anjing pada 1958.

    “Rumah saya bermakna cara hidup saya, diturunkan kepada saya oleh moyang saya – bergantung hidup pada hasil bumi, laut, udara.. kami bergantung hidup pada haiwan yang ada di sini. Dan adalah penting untuk mengajarnya kepada anak dan cucu saya,” katanya, menuding kepada Issac, 10 dan Kyle Rose, 6, “Supaya mereka boleh meneruskan kehidupan yang hanya kami ketahui pada masa kami.”

    Gaya hidup tradisional yang dijalani Inupiat selama beberapa ribu tahun mudah terdedah kepada kesan perubahan iklim. Di Alaska, suhu purata telah naik 1.4 darjah Celsius sejak 1992, menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS. Kawasan Artik telah menjadi panas dua kali lebih cepat di dunia tetapi kini telah meningkat kepada tiga kali lebih cepat atas sebab yang sama, menurut Program Pemantauan dan Penilaian Artik. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda