Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan iklim antara punca tahap kesihatan mental merosot

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Isu-isu berkaitan kesihatan mental, dasar kerajaan dalam menangani isu berkenaan dan langkah pencegahan dibincangkan semasa Seminar Majlis Ilmu 2024 dengan sesi keempat seminar membincangkan subtema, Kesihatan Mental dan Persekitaran, yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat di sesi seminar berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; Rektor UNISSA, setiausaha dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan, para jemputan khas, para pembentang kertas kerja, pegawai dan kakitangan dari pelbagai kementerian dan jabatan.

    Dalam pembentangan kertas kerja bertajuk, Perubahan Persekitaran dan Kesihatan Mental, yang disampaikan oleh Dekan, Kuliah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Abu Sulayman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Shukran bin Abdul Rahman, antara lain menyentuh mengenai keadaan persekitaran planet dan penghuninya yang sedang menghadapi suasana yang semakin berubah dan mencabar menyebabkan kemerosotan kualiti kesejahteraan dalam kehidupan mereka.

    Fenomena itu, jelasnya, yang sering dirujuk sebagai perubahan iklim, harus difahami sebagai perubahan dalam semua aspek aktiviti dan proses yang berlaku di sekeliling kita. Penduduk planet ini kini menderita akibat kesan buruk perubahan persekitaran mereka, termasuk kemerosotan tahap kesihatan mental.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi hadir semasa seminar berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Sesi seminar kali ini membincangkan subtema, Kesihatan Mental dan Persekitaran. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Manakala itu, pensyarah, Pusat Pengajian Islam Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, UBD, Profesor Madya Dr Shaikh Abdul Mabud, menyampaikan kertas kerja bertajuk, Body-Mind Dualism or Somatic-Psychological Unification: Understanding Human Nature Through Science and Religion, di mana kajiannya telah meneroka perspektif berbeza iaitu dualisme minda-badan dan penyatuan somatik-psikologi melalui pendekatan bioperubatan dan Islam.

    Konsep itu sangat mempengaruhi perkembangan bioperubatan dengan menggalakkan kajian empirikal, objektif dan mengehadkan siasatan kepada fizikal badan. Pendekatan ini menyerlahkan kesinambungan badan, minda dan jiwa sebagai contoh awal dalam penyatuan somatik-psikologikal.

    Sementara itu, dalam kertas kerja bertajuk, Perubahan Persekitaran dan Kesihatan Mental, yang disampaikan oleh pensyarah dari Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Muhamad Zahiri bin Awang Mat, membincangkan mengenai faktor berkaitan ketidakseimbangan emosi, rohani, psikologi dan kognitif dapat menjejaskan kesihatan mental mahupun fizikal individu.

    Penekanan kepada amalan kerohanian dan penerapan terapi Islam dalam kehidupan seharian perlu ditekankan oleh individu dalam menghadapi kesukaran hidup seharian.

    Hasil dapatan kajiannya menunjukkan kesedaran dan kepentingan amalan terapi Islam perlu dipertingkatkan dan diperluaskan penggunaannya dan merupakan pendekatan Islamik dalam memberikan rawatan dan bantuan kepada individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda