MANILA, 3 NOV – Penyelidikan baharu Bank Pembangunan Asia (ADB) mendapati kesan perubahan iklim boleh mengurangkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) di negara-negara Asia dan Pasifik sebanyak 17 peratus menjelang 2070 jika pelepasan gas rumah hijau terus meningkat. Jumlah ini boleh meningkat kepada 41 peratus menjelang 2100.
Kenaikan paras laut dan penurunan produktiviti buruh dijangka menjadi punca utama kerugian, dengan negara berpendapatan rendah paling terkesan, lapor agensi berita Emiriah (WAM).
Laporan pertama Laporan Iklim Asia-Pasifik ADB menerangkan impak buruk yang mengancam rantau ini. Jika krisis iklim berterusan, sehingga 300 juta orang mungkin terancam oleh banjir dan aset bernilai trilion dolar boleh rosak setiap tahun menjelang 2070.
“Perubahan iklim telah memperhebatkan kemusnahan akibat ribut, gelombang haba dan banjir di rantau ini, menyebabkan cabaran ekonomi dan penderitaan manusia,” kata Presiden ADB, Masatsugu Asakawa.
“Tindakan segera dan kerjasama dalam menangani kesan ini sangat penting. Laporan ini memberikan panduan tentang cara-cara membiayai keperluan adaptasi segera dan mencadangkan dasar kepada kerajaan di negara anggota untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan kos yang rendah,” katanya. – Bernama