GENEVA, 6 SEPT – Perubahan iklim mendorong gelombang haba yang lebih kuat dan kerap, seterusnya menghasilkan ‘ramuan ajaib’ mengandungi pelbagai bahan pencemar yang mengancam kesihatan manusia dan semua makhluk hidup, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Kepulan asap hasil kebakaran hutan yang baru-baru ini melanda bandar-bandar dari Athens ke New York mungkin merupakan tanda pencemaran udara paling ketara yang disebabkan oleh gelombang haba.
Tetapi haba yang melampau juga boleh menyebabkan pelbagai proses kimia lain yang berbahaya untuk kesihatan manusia, kata Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) dalam Buletin Kualiti Udara dan Iklim tahunannya.
“Gelombang haba menjejaskan kualiti udara, dengan kesan buruk terhadap kesihatan manusia, ekosistem, pertanian dan kehidupan seharian kita,” kata Ketua WMO, Petteri Taalas dalam satu kenyataan.
Satu kajian baharu oleh Institut Dasar Tenaga di University of Chicago menunjukkan bahawa pencemaran zarah halus daripada sumber seperti pelepasan gas dari kenderaan dan industri, pasir serta kebakaran hutan adalah ‘ancaman luaran terbesar terhadap kesihatan awam’ di seluruh dunia.
“Perubahan iklim dan kualiti udara tidak boleh ditangani secara berasingan,” tegas Taalas.
“Ia berkait rapat dan mesti ditangani bersama bagi memutuskan kitaran ganas ini.” – AFP
