PARIS, 20 FEB – Perubahan iklim menjadi salah satu cabaran terbesar bagi industri perikanan di seluruh dunia dan mereka perlu lebih bersedia, menurut laporan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang diterbitkan pada Rabu, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Turun naik suhu laut, perubahan arus laut dan kekerapan kejadian cuaca ekstrem, adalah kesan pemanasan global yang semakin memberi impak terhadap stok ikan dan seterusnya terhadap mata pencarian pihak yang terlibat dalam industri perikanan, menurut laporan tersebut.
OECD menekankan kepentingan memahami bagaimana perubahan iklim mempengaruhi prestasi dan kelestarian sektor perikanan serta membuat ramalan mengenai kesan masa depan bagi memastikan pengurusan perikanan yang mampan.
Bagi membolehkan sektor itu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, kerjasama antara saintis, wakil industri dan pembuat dasar perlu dipertingkatkan, menurut OECD.
OECD turut menggesa supaya amalan subsidi industri sedia ada disemak semula bagi memastikan sektor itu lebih lestari, dengan mencadangkan agar subsidi sedia ada seperti bagi bahan api, pembinaan, pembelian dan operasi kapal, dialihkan kepada aktiviti yang lebih kritikal untuk kelestarian perikanan global.
Ini termasuk penyelidikan untuk menilai keadaan stok ikan, penguatkuasaan undang-undang perikanan, dan sokongan pendapatan sementara untuk nelayan yang terjejas oleh krisis iklim seperti gelombang haba laut. – Bernama
