Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan iklim cetus peningkatan kes denggi global

    PARIS, 17 NOV – Kajian mendapati perubahan iklim menyumbang hampir satu per lima daripada jumlah kes demam denggi mencatat rekod dunia tertinggi tahun ini.

    Penemuan itu mendedahkan bagaimana peningkatan suhu global turut membantu penyebaran penyakit dengan menyediakan persekitaran sesuai bagi virus itu dan
    nyamuk yang menjadi vektor pembawa utamanya.

    Penyelidik berusaha untuk membuktikan bagaimana perubahan iklim yang didorong oleh manusia menyumbang kepada fenomena cuaca melampau seperti taufan, kebakaran hutan, kemarau dan banjir.

    Namun, hubungan antara pemanasan global dengan kesihatan, seperti penyebaran penyakit adalah bidang yang masih baharu.

    Ahli ekologi penyakit dari Universiti Stanford, Erin Mordecai berkata kepada AFP, denggi adalah penyakit yang sesuai untuk dikaji kerana ia sangat sensitif terhadap perubahan iklim.

    Gambar AFP

    Penyakit denggi itu disebarkan melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti, menyebabkan demam dan sakit badan, malah dalam beberapa kes, boleh membawa maut.

    Denggi biasanya terhad kepada kawasan tropika dan sub-tropika, tetapi peningkatan suhu global menyebabkan nyamuk menyebar ke kawasan baharu, membawa penyakit berkenaan bersama mereka.

    Dalam kajian baharu yang belum disemak oleh rakan penyelidik, pasukan Amerika Syarikat (AS) menganalisis hubungan antara suhu panas dan jangkitan denggi di 21 negara di Asia dan benua Amerika.

    Secara purata, kira-kira 19 peratus kes denggi global kini ‘berpunca daripada pemanasan iklim yang berlaku’, menurut Mordecai, penulis utama kajian tersebut.

    Suhu antara 20 hingga 29 darjah Celsius adalah sesuai untuk penyebaran denggi.

    Kawasan tanah tinggi di Peru, Mexico, Bolivia dan Brazil dijangka melihat peningkatan kes denggi hingga 200 peratus dalam tempoh 25 tahun akan datang jika isu perubahan iklim gagal ditangani.

    Analisis itu juga menganggarkan sekurang-kurangnya 257 juta orang kini tinggal di kawasan di mana pemanasan global boleh menggandakan kadar jangkitan denggi dalam tempoh itu.

    Sehingga September, lebih 12.7 juta kes denggi direkodkan di seluruh dunia tahun ini, hampir dua kali ganda rekod 2023, menurut angka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda