KIRUNA, SWEDEN — Di puncak Gunung Luossavaara di utara Sweden, penggembala rusa Sami, Lars-Marcus Kuhmunen, melihat masa depan suram untuk dirinya dan komuniti Orang Asli lain yang telah membiakkan rusa mereka di tanah itu selama ribuan tahun.
Sebuah lombong bijih besi yang semakin berkembang dan deposit mineral tanah telah mengakibatkan perubahan pada laluan migrasi rusa kuno.
Dalam masa yang sama, perubahan iklim di Kutub Utara yang semakin panas empat kali lebih cepat berbanding kawasan lain di dunia, turut menjejaskan haiwan tersebut.
Para penggembala berkata, mereka memerlukan fleksibiliti geografi yang lebih, bukan kurang, untuk memastikan kelangsungan haiwan-haiwan itu.
Menurut Kuhmunen, jika sekiranya lombong dibuka, ia boleh memutuskan sepenuhnya laluan migrasi yang digunakan oleh kampung Sami, Gabna.
Itu akan menandakan berakhirnya cara hidup Orang Asli untuk Kuhmunen, anak-anaknya dan rakan-rakan penggembala rusa Sami, di kawasan utara jauh Sweden, kira-kira 200 kilometer (124 batu) di utara Garisan Artik, katanya.
“Rusa adalah asas utama budaya Sami di Sweden,” kata Kuhmunen. “Segala-galanya berpunca daripada rusa; makanan, bahasa, pengetahuan tentang gunung. Segalanya berpunca daripada penternakan rusa. Jika itu terhenti, budaya Sami juga akan terhenti.”




PENGGEMBALA RUSA SAMI MENGIKUT TRADISI TURUN TEMURUN
Penggembala Sami berasal dari masyarakat yang dahulunya nomad dan tersebar di kawasan utara Sweden, Norway, Finland dan bahagian barat laut Russia. Sehingga 1960an, anggota minoriti Orang Asli ini dihalang daripada menternak rusa dan pihak gereja serta kerajaan menekan bahasa dan budaya mereka.
Di Sweden sahaja terdapat sekurang-kurangnya 20,000 orang dengan warisan Sami, walaupun jumlah rasmi tidak wujud kerana banci berasaskan etnik adalah dilarang oleh undang-undang. Hari ini, sebuah kampung Sami, yang dikenali sebagai sameby, iaitu entiti perniagaan yang ditadbir oleh kerajaan, yang menentukan berapa banyak rusa separa jinak yang boleh dimiliki setiap kampung dan kawasan mereka boleh meragut.
“Semakin sukar untuk mempunyai penternakan rusa yang lestari dan memastikan rusa dapat bertahan musim sejuk Artik dan ke tahun berikutnya,” kata Stefan Mikaelsson, anggota Parlimen Sami.
Di kampung Gabna, Kuhmunen mengurus kira-kira 2,500 hingga 3,000 rusa dan 15 hingga 20 penggembala. Keluarga mereka, seramai kira-kira 150 orang, bergantung kepada keuntungan perniagaan ini.
Sebelum penemuan deposit Per Geijer, mereka sudah terpaksa menghadapi peluasan lombong Kiirunavaara. Lombong bijih besi bawah tanah terbesar dunia itu memaksa penggembala kampung itu membawa rusa melalui laluan migrasi yang lebih panjang dan sukar.
LOMBONG BOLEH DIKURANGKAN
Pegawai Sweden dan LKAB, syarikat lombong milik kerajaan, berkata lombong Per Geijer yang dicadangkan boleh mengurangkan kebergantungan Eropah terhadap China untuk mineral tanah jarang. LKAB berharap untuk memulakan perlombongan di situ pada tahun 2030an.
Selain penting untuk banyak teknologi pengguna, termasuk telefon bimbit, cakera keras dan kenderaan elektrik atau hibrid, mineral tanah jarang juga dianggap penting untuk peralihan ekonomi daripada bahan api fosil kepada elektrik dan tenaga boleh diperbaharui.
Namun, jika kerja di Per Geijer diteruskan, Kuhmunen berkata tiada laluan lain untuk penggembala Gabna membawa rusa ke timur dari gunung pada musim panas ke padang ragut penuh lumut berkhasiat pada musim sejuk. Kampung itu akan mencabar lombong tersebut di mahkamah, tetapi Kuhmunen tidak optimis.
“Memang sukar untuk melawan lombong. Mereka ada semua sumber, semua cara. Mereka ada wang. Kami tiada itu,” kata Kuhmunen. “Kami hanya ada kemahuan untuk terus wujud. Untuk mewariskan tanah ragut ini kepada anak-anak kami.”
Darren Wilson, naib presiden kanan produk khas LKAB, berkata syarikat lombong sedang mencari penyelesaian untuk membantu penggembala Sami, walaupun beliau tidak memberi spekulasi tentang apa yang mungkin dilakukan.
“Terdapat potensi yang boleh kita cuba dan kita perlu terus berunding,” katanya.
“Tetapi saya tidak memandang ringan cabaran untuk melakukannya.”
KESAN PERUBAHAN IKLIM TERHADAP PENTERNAKAN RUSA
Perubahan iklim mengganggu penternakan rusa tradisional Sami.
Pemanasan global membawa hujan bukannya salji pada musim sejuk di Lapland Sweden.
Hujan beku itu kemudian menebal lumut di bawah lapisan ais tebal sehingga rusa lapar tidak dapat mengakses makanan, menurut Anna Skarin, pakar penternakan rusa dan profesor Universiti Sains Pertanian Sweden.
Pada musim panas, suhu gunung meningkat sehingga 30 darjah Celsius, menyebabkan rusa terlalu panas dan tidak dapat meragut secukupnya untuk menambah berat badan yang diperlukan bagi bertahan pada musim sejuk.
Sesetengah pihak di Sweden mencadangkan rusa dipindahkan menggunakan trak antara kawasan ragut jika lombong Per Geijer dibina. Tetapi Skarin berkata itu tidak praktikal kerana haiwan meragut sambil bergerak dan pemindahan akan menafikan mereka makanan sepanjang perjalanan.
“Jadi anda bukan sahaja mengambil laluan migrasi yang telah digunakan secara tradisional selama ratusan hingga ribuan tahun,” katanya, “tetapi anda juga mengambil sumber ragut yang sepatutnya mereka gunakan sepanjang masa itu.”
Bagi Kuhmunen, ini juga bermakna berakhirnya tradisi Sami yang diwariskan oleh generasi penggembala rusa di tanah ini. – AP

