AMERIKA SYARIKAT, 17 OKT – Hampir 80 peratus daripada penduduk termiskin dunia, bersamaan kira-kira 900 juta orang, terdedah secara langsung kepada ancaman iklim yang diperburuk oleh pemanasan global, sekali gus menanggung ‘beban berganda yang tidak seimbang,’ menurut amaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
“Tiada siapa yang terkecuali daripada kesan perubahan iklim yang semakin kerap dan semakin kuat seperti kemarau, banjir, gelombang haba dan pencemaran udara. Namun, golongan termiskin merupakan mereka yang menanggung kesan paling teruk,” kata Pemangku Pentadbir Program Pembangunan PBB (UNDP), Haoliang Xu dalam satu kenyataan kepada AFP.
Sidang kemuncak iklim COP30 di Brazil pada November ini merupakan saat penting bagi pemimpin dunia melihat tindakan iklim sebagai tindakan memerangi kemiskinan, tambah beliau.
Menurut laporan tahunan yang diterbitkan oleh UNDP bersama Inisiatif Kemiskinan dan Pembangunan Manusia Oxford, seramai 1.1 bilion orang iaitu kira-kira 18 peratus daripada 6.3 bilion penduduk di 109 negara yang dikaji, hidup dalam kemiskinan pelbagai tahap, berdasarkan faktor seperti kadar kematian anak damit, akses kepada perumahan, sanitasi, elektrik dan pendidikan. Separuh daripada jumlah itu adalah kanak-kanak.
Salah satu contoh kemiskinan melampau yang disebut dalam laporan itu ialah Ricardo, ahli komuniti Orang Asli Guarani yang tinggal di luar bandar Santa Cruz de la Sierra, kota terbesar Bolivia. Ricardo, yang bekerja sebagai buruh harian dengan pendapatan kecil, berkongsi rumah kecil satu keluarga dengan 18 ahli keluarga lain, termasuk tiga orang anaknya, ibu bapa serta keluarga terdekat.
“Rumah mereka hanya mempunyai satu bilik air, dapur berasaskan kayu dan arang dan tiada seorang pun daripada kanak-kanak tersebut bersekolah. “Kehidupan mereka mencerminkan realiti pelbagai dimensi kemiskinan,” kata laporan itu.
Dua wilayah yang paling terjejas ialah Afrika sub-Sahara dan Asia Selatan, kedua-duanya sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim. Laporan itu menekankan hubungan rapat antara kemiskinan dan pendedahan kepada empat risiko alam sekitar; haba melampau, kemarau, banjir dan pencemaran udara.
“Isi rumah miskin amat terdedah kepada kejutan iklim kerana kebanyakannya bergantung kepada sektor berisiko tinggi seperti pertanian dan pekerjaan tidak formal,” jelas laporan itu. “Apabila risiko ini bertindih atau berlaku berulang kali, ia menggandakan kemudaratan sedia ada.”
Hasilnya, 887 juta orang, hampir 79 peratus daripada populasi miskin ini, terdedah secara langsung kepada sekurang-kurangnya satu ancaman tersebut. Seramai 608 juta berdepan haba melampau, 577 juta terjejas oleh pencemaran udara, 465 juta oleh banjir dan 207 juta oleh kemarau. – AFP


