Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan iklim jejas mata pencarian pemetik herba Tunisia

    AIN DRAHAM, TUNISIA – Di lereng bukit di tanah tinggi barat laut Tunisia, kaum wanita menelusuri ladang di bawah cahaya terik matahari untuk mencari herba liar yang menjadi sumber mata pencarian mereka, tetapi kemarau dan peningkatan suhu menjadikan lebih sukar untuk mencari tumbuhan berharga itu.

    Namun para petani berkata mereka tidak mempunyai banyak pilihan selain meneruskan usaha tersebut, memandangkan tidak adanya banyak peluang di negara yang terjejas teruk oleh pengangguran, inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.

    “Terdapat perbezaan besar antara keadaan pada masa lalu dan apa yang kita hadapi sekarang,” kata Mabrouka Athimni, yang mengetuai perusahaan penuai herba wanita tempatan bernama ‘Al Baraka’ (‘Berkat’).

    “Kami memperoleh separuh, kadangkala hanya satu pertiga, daripada apa yang kami peroleh dahulu.”

    Tunisia menghasilkan kira-kira 10,000 tan herba aromatik dan perubatan setiap tahun, menurut angka rasmi.

    Mabrouka Athimmi menunjukkan minyak diekstrak daripada tumbuhan dalam makmal di kampung Tbainia. – AFP
    Wanita memetik herba ubat dan aromatik di pergunungan kampung Tbainia. – AFP
    Atas & bawah: Proses mengekstrak minyak daripada tumbuhan. – AFP

    Gambar AFP

    Dalam tempoh 20 tahun yang lalu, perusahaan kolektif Athimni telah menyokong banyak keluarga di Tbainia, sebuah kampung berhampiran bandar Ain Draham di wilayah yang mempunyai kadar kemiskinan yang jauh lebih tinggi daripada purata negara.

    Wanita, yang membentuk kira-kira 70 peratus daripada tenaga kerja pertanian, adalah pencari nafkah utama untuk keluarga mereka di Tbainia.

    HASIL BERKURANGAN

    Tunisia mengalami tahun kemarau keenam dan telah menyaksikan rizab airnya semakin berkurangan, kerana suhu telah melonjak melepasi 50 darjah Celsius (122 darjah Fahrenheit) di beberapa kawasan semasa musim panas.

    Negara itu mempunyai 36 empangan, kebanyakannya di barat laut, tetapi ketika ini hanya 20 peratus yang penuh – rekod terendah dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

    Kaum wanita Tbainia berkata mereka biasanya menuai tumbuhan seperti kayu putih, rosemary dan mastic sepanjang tahun, tetapi sumber air yang menyusut dan hujan yang jarang turun telah menjejas keluaran minyak.

    “Mata air gunung semakin kering, dan tanpa salji atau hujan untuk menambahnya, tumbuhan herba menghasilkan sedikit minyak,” kata Athimni.

    Mongia Soudani, seorang penuai berusia 58 tahun dan ibu kepada tiga anak, berkata kerjanya adalah satu-satunya sumber pendapatan isi rumahnya. Dia menyertai kolektif itu lima tahun lalu.

    “Kami biasa mengumpul tiga atau empat guni besar herba setiap tuaian,” katanya.

    “Sekarang, kami bernasib baik kalau dapat mengisi hanya satu karung.”

    Hutan di Tunisia meliputi 1.25 juta hektar, kira-kira 10 peratus daripadanya terletak di wilayah barat laut.

    Kebakaran hutan yang didorong oleh kemarau dan peningkatan suhu telah memusnahkan hutan ini, sekali gus mengurangkan sumber semula jadi yang menjadi tempat pergantungan kepada wanita seperti Soudani.

    Pada musim panas tahun lalu, kebakaran hutan memusnahkan kira-kira 1,120 hektar berhampiran Tbainia.

    “Sebahagian gunung itu musnah dijilat api, dan wanita lain kehilangan segala-galanya,” ujar Soudani.

    Untuk menyesuaikan diri dengan beberapa cabaran yang didorong oleh iklim, kaum wanita berkenaan menerima latihan daripada organisasi antarabangsa, seperti Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), untuk memelihara sumber hutan.

    Namun, Athimni bergelut untuk mendapatkan pendapatan yang berdaya maju.

    “Saya tidak dapat memenuhi tempahan pelanggan saya lagi kerana hasil tuaian tidak mencukupi,” katanya.

    Akibatnya, kolektif itu telah kehilangan beberapa pelanggannya, tambahnya.

    TIDAK LAGI MAMPAN

    Satu kajian baru-baru ini oleh Forum Tunisia untuk Hak Ekonomi dan Sosial (FTDES) menekankan bagaimana kerosakan akibat iklim terhadap hutan telah memberi kesan teruk kepada masyarakat tempatan.

    “Wanita khususnya menanggung akibatnya apabila aktiviti mereka menjadi lebih sukar,” kata kajian itu.

    Tunisia telah meratifikasi perjanjian alam sekitar antarabangsa utama, termasuk Perjanjian Iklim Paris 2015.

    Tetapi penyelidik keadilan alam sekitar, Ines Labiadh, yang menyelia kajian FTDES, berkata pelaksanaan ‘masih tidak lengkap.’

    Dalam menghadapi kesusahan berkenaan, petani Tbainia, seperti kebanyakan wanita yang bekerja di sektor itu, akan dipaksa mencari atau beralih kepada mata pencarian alternatif, kata Labiadh.

    “Mereka tiada pilihan selain mempelbagaikan aktiviti. Bergantung sepenuhnya pada sumber asli tidak lagi mampan,” katanya.

    Kembali ke ladang, Bachra Ben Salah berusaha untuk mengumpul apa sahaja herba yang boleh digunakannya.

    “Tiada apa yang boleh dilakukan selain menunggu belas ihsan Tuhan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda