LAMJUNG, NEPAL – Bergantung menggunakan tangga buluh dan tali dari tebing gunung Himalaya, pendaki berkemahiran Nepal mengumpulkan madu halusinogenik bernilai tinggi – sebuah tradisi kuno terjejas oleh kemerosotan alam sekitar dan perubahan cuaca yang pantas.
Diselubungi asap untuk menghalau kawanan lebah besar yang defensif, Som Ram Gurung, 26, tergantung secara berbahaya pada ketinggian 100 meter dari tanah, memotong ketulan besar sarang lebah madu yang gelap dan berair.
Sepanjang ingatan penduduk di perkampungan daerah Lamjung, mengumpul madu tersebut berbaloi walaupun berbahaya.
Sarang tersebut dinilai sebagai ‘madu gila’, kemanisannya dengan sengatan pada ekornya yang para pengumpul katakan memberikan satu sensasi yang memabukkan bersama sifat psikoaktif ringan yang berasal daripada nektar bunga Rhododendron yang sangat disukai oleh lebah.
Namun, ia tidak mudah untuk dituai.






Madu beraltitud tinggi itu berasal dari spesies lebah madu terbesar di dunia, Apis laboriosa, yang menyukai cenuram tidak dapat diakses.
Tetapi kegiatan berkemahiran tersebut sekarang berdepan dengan cabaran baharu, kebanyakannya didorong oleh kesan-kesan pemanasan planet.
Pemburu madu menyatakan perubahan corak cuaca dan ancaman alam sekitar menjejaskan lembah-lembah berhutan terpencil, 100 kilometer di sebelah barat laut Kathmandu.
Doodh Bahadur Gurung, 64, yang mengajar kemahirannya kepada anaknya Som Ram, menyatakan para pemburu telah melihat kemerosotan pantas dalam jumlah sarang lebah dan madu yang dituai.
“Semasa kami muda, terdapat sarang lebah pada hampir setiap cenuram kerana banyaknya bunga liar dan sumber air,” jelas Doodh Bahadur.
“Tetapi setiap berlalunya tahun, semakin sukar untuk menemukan sarang lebah.”
EMPANGAN, RACUN PEROSAK, KEBAKARAN HUTAN
Dia menyalahkan penurunan populasi lebah akibat peningkatan taburan hujan yang tidak menentu, kebakaran hutan, racun perosak pertanian dan pengubahan haluan sungai-sungai disebabkan pertambahan empangan kuasa hidro dan pembinaan jalan-jalan raya.
“Sungai-sungai mengering disebabkan projek-projek hidro dan taburan hujan yang tidak menentu,” katanya, sambil menyatakan bahawa lebah liar lebih suka bersarang berdekatan air.
“Lebah yang terbang ke ladang-ladang juga berdepan masalah racun perosak, yang membunuhnya.”
Dengan hujan yang tidak menentu, musim sejuk yang lebih kering dan cuaca yang panas membahang, kebakaran hutan telah menjadi satu kebiasaan.
Data kerajaan menunjukkan Nepal mengatasi lebih 4,500 kebakaran hutan pada tahun ini, hampir dua kali ganda dari tahun sebelumnya.
“Kebakaran hutan sering berlaku sekarang,” kata Doodh Bahadur.
“Tidak ada orang muda yang mencukupi untuk memadamkannya tepat pada masanya.”
Sepuluh tahun yang lalu, kampungnya di Taap dapat menuai 1,000 liter madu setiap musim.
Hari ini, Doodh Bahadur menyatakan mereka menganggap diri mereka beruntung jika mendapat 250 liter.
Pengamatan para pemburu itu disahkan oleh para saintis.
Mereka menyatakan peningkatan suhu disebabkan perubahan cuaca yang didorong oleh bahan bakar fosil merupakan kunci utama.
“Lebah-lebah… sangat mudah terkesan kepada perubahan suhu,” kata pakar lebah, Susma Giri dari Institut Sains Gunaan Kathmandu.
“Ia merupakan sejenis serangga yang hidup di hutan dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan pergerakan manusia atau bunyi bising, yang secara langsung memberikan kesan kepada lebah liar.”
KESAN EKONOMI YANG MEMBIMBANGKAN
ICIMOD telah memberikan amaran pada Mei, menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 75 peratus tanaman di Nepal bergantung kepada pendebunga seperti lebah.
“Antara faktor utama penurunan serangga itu… merupakan perubahan cuaca dan kehilangan habitat,” kata ICIMOD.
“Pengurangan pendebungaan yang berlaku telah pun menyebabkan kesan ekonomi yang membimbangkan.”
Satu kajian pada 2022, yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Health Perspectives, mengira kerugian tahunan daripada pengurangan pendebungaan di Nepal berjumlah sehingga AS$250 per kapita – jumlah yang besar dalam sebuah negara di mana pendapatan purata tahunannya adalah AS$1,400.
Bekalan yang semakin berkurangan bermakna madu jarang ditemui itu mempunyai harga tinggi. Satu liter madu yang dijual pada harga AS$3.50 pada 20 tahun lalu sekarang dijual pada harga AS$15.
Peniaga menyatakan terdapat permintaan yang meningkat dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, yang didorong oleh khasiat kesihatan yang dilaporkan di media sosial.
Peniaga madu di Kathmandu menganggarkan eksport tahunan pada sekitar 10,000 liter, dan di peringkat antarabangsa, sebotol ‘madu gila’ seberat 250 gram boleh mencecah harga AS$70 secara dalam talian.
“Permintaan untuk ‘madu gila’ meningkat setiap tahun, tetapi penghasilan berkualiti telah menurun,” kata pengeksport madu yang berpangkalan di Kathmandu, Rashmi Kandel.
KEHILANGAN SEMUANYA
Dengan madu semakin berkurangan, hanya sedikit orang muda yang ingin menyertai pemburuan tradisional di gunung selama sebulan.
Serata Nepal, orang-orang muda telah meninggalkan kehidupan di kawasan luar bandar dan mencari pekerjaan bergaji lebih baik di luar negara.
Suk Bahadur Gurung, 56, ahli politik tempatan dan sebahagian daripada kumpulan pemburu madu, bimbang generasi seterusnya tidak akan menguasai kemahiran ini.
“Awda memerlukan kemahiran dan kekuatan. Tidak banyak belia yang mahu melakukannya,” kata Suk Bahadur.
Som Ram Gurung menunjukkan tangan dan kakinya yang bengkak selepas turun daripada cenuram.
“Sengatan memenuhi badan saya,” ujarnya, sambil menambah bahawa dia akan bekerja di sebuah kilang di Dubai dengan gaji bulanan sekitar AS$320.
Ayahnya, Doodh Bahadur berasa kesal terhadap lebah yang semakin berkurangan dan belia yang berhijrah.
“Kita kehilangan semuanya,” katanya. “Masa depan tidak pasti untuk semua orang.” – AFP

