Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan iklim tingkat risiko kebakaran hutan Iberia

    MADRID, 4 SEPT – Perubahan iklim akibat aktiviti manusia telah menjadikan keadaan panas, kering dan berangin yang mencetuskan kebakaran hutan maut di Sepanyol dan Portugal bulan lalu “40 kali lebih berkemungkinan berlaku”, kata para penyelidik hari ini.

    Semenanjung Iberia mengalami suhu luar biasa tinggi sepanjang Ogos, dengan bacaan mencecah lebih 40 darjah Celsius di banyak kawasan. Gelombang panas berpanjangan itu telah menyemarakkan kebakaran hutan, terutamanya di utara Portugal serta barat dan barat laut Sepanyol yang meragut nyawa empat orang di setiap negara, memaksa ribuan orang dipindahkan, dan memusnahkan kawasan tanah yang luas.

    Di Sepanyol, lebih 380,000 hektar terbakar tahun ini, jumlah tahunan tertinggi pernah direkodkan dan hampir lima kali ganda purata tahunan, menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah.

    Portugal pula kehilangan lebih 280,000 hektar, hampir tiga kali ganda kawasan yang biasanya terbakar dalam setahun. Perubahan iklim, yang berpunca terutamanya daripada pembakaran bahan api fosil, menjadikan cuaca mudah terbakar kira-kira 40 kali lebih berkemungkinan dan 30 peratus lebih teruk, menurut laporan penyelidik Eropah yang diterbitkan oleh World Weather Attribution.

    “Tanpa pemanasan yang berpunca daripada manusia, keadaan cuaca kebakaran yang teruk sebegini hanya dijangka berlaku kurang daripada sekali dalam 500 tahun, berbanding sekali setiap 15 tahun seperti sekarang,” kata penyelidik di Imperial College London, Theo Keeping.

    Lebih 1,100 kematian di Sepanyol dikaitkan dengan gelombang panas Ogos itu, menurut anggaran yang dikeluarkan oleh Institut Kesihatan Carlos III. – AFP

    Anggota bomba berusaha memadam kebakaran hutan di Veiga das Meas, Sepanyol pada 16 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda