Tuesday, July 22, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan iklim tingkat risiko komplikasi kehamilan

    PARIS, 14 MEI – Gelombang haba panas yang didorong oleh pemanasan global meningkatkan risiko komplikasi berbahaya semasa kehamilan di seluruh dunia, menurut satu laporan hari ini.

    Terdedah kepada haba melampau semasa hamil sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai masalah, termasuk risiko lebih tinggi kelahiran pramatang, kematian, kecacatan kelahiran dan diabetes kehamilan.

    Laporan baharu daripada kumpulan penyelidikan Climate Central yang berpangkalan di Amerika Syarikat cuba mengukur jumlah wanita hamil terdedah kepada haba yang melampau sejak 2020 dan sejauh mana perubahan iklim patut dipersalahkan.

    “Di 222 daripada 247 buah negara dan wilayah yang dikaji, perubahan iklim sekurang-kurangnya menggandakan bilangan purata hari berisiko haba yang dialami wanita hamil dalam tempoh lima tahun lalu,” kata laporan itu.

    Peningkatan terbesar adalah di negara membangun yang mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan terhad, seperti di Caribbean, Amerika Tengah dan Selatan, kepulauan Pasifik, Asia Tenggara dan sub-Sahara Afrika.

    Para penyelidik hanya melihat peningkatan pada hari panas yang berpotensi berisiko dan tidak mengkaji sejauh mana wanita hamil sebenarnya terjejas oleh haba di negara-negara itu.

    Ana Bobell, seorang penyelidik kesihatan ibu dan haba melampau di London School of Hygiene and Tropical Medicine yang tidak terlibat dalam laporan itu, berkata ia memberikan bukti jelas tentang peningkatan risiko pendedahan haba melampau terhadap kehamilan.

    Penemuan itu juga boleh digunakan untuk warga tua, kumpulan lain yang lebih berisiko semasa tempoh panas, katanya kepada AFP. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda