Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan iklim tingkat risiko taufan di Asia Tenggara

    SINGAPURA, 31 JULAI – Taufan di Asia Tenggara kini terbentuk lebih dekat dengan pantai, semakin kuat dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama di daratan akibat perubahan iklim, menurut satu kajian saintifik bersama yang diterbitkan, hari ini.

    Penduduk di pesisir dan bandar seperti Hai Phong di Vietnam dan ibu kota Thailand, Bangkok, kini ‘berdepan ancaman yang belum pernah terjadi sebelumnya daripada ribut yang lebih kuat dan lebih lama’, menurut kenyataan mengenai kajian tersebut.

    Penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di Singapura dan Universiti Rowan serta Universiti Pennsylvania di Amerika Syarikat menganalisis lebih daripada 64,000 model ribut sejarah dan masa depan dari abad ke-19 hingga akhir abad ke-21 untuk membuat kesimpulan, menurut kenyataan itu.

    Diterbitkan dalam jurnal rakan kongsi Nature, Climate and Atmospheric Science, kajian tersebut menyoroti perubahan ketara dalam tingkah laku taufan tropika di Asia Tenggara.

    Perubahan tersebut termasuk ‘peningkatan pembentukan dekat pantai dan pergerakan yang lebih perlahan di daratan, yang boleh menimbulkan risiko baharu kepada rantau itu’.

    Perubahan iklim, yang menyebabkan perairan lautan menjadi lebih panas, boleh mengubah laluan ribut tropika di rantau itu yang merupakan tempat tinggal kepada lebih daripada 650 juta orang. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda