Perubahan operasi harian JPMC, PJSC, GJPMC

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Pandemik global COVID-19 telah menjadi kebimbangan utama orang ramai sejak kes pertama dilaporkan di negara ini pada 9 Mac 2020.

Sebagai langkah untuk memastikan pesakit, ahli saudara pesakit dan kakitangannya berada dalam keadaan selamat, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) dan Gleneagles JPMC (GJPMC) memaklumkan mengenai perubahan operasi harian.

Hospital-hospital berkenaan telah melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan seperti membersihkan semua premis di dalam kompleks kesihatan.

Semua pelawat akan disaring sebelum memasuki kompleks hospital dan mana-mana pelawat yang merasa tidak sihat atau sedang mengalami gejala demam, batuk dan selesema dinasihatkan untuk tidak memasuki mana-mana bahagian hospital tersebut untuk mengelakkan penyebaran penyakit.

Selain itu, mereka juga mengehadkan bilangan pelawat ke premis (seperti klinik, wad, farmasi, jabatan pemulihan untuk fisioterapi, terapi pekerjaan dan perkhidmatan terapi pertuturan atau kawasan pesakit lain) kepada hanya seorang untuk menemani setiap
pesakit.

Sekiranya lebih daripada seorang yang menemani pesakit, orang itu akan diminta menunggu di luar premis.

Untuk waktu melawat pesakit pula, hanya seorang sahaja pelawat dibenarkan bagi setiap pesakit pada satu masa dan diberi masa 30 minit sahaja.

Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun pula tidak dibenarkan melawat pesakit.

Hospital-hospital berkenaan turut menggantung sementara pembedahan yang tidak penting, pakej pemeriksaan kesihatan dan promosi dalam usaha mengurangkan bilangan orang di Klinik Pesakit Luar dan di kompleks kesihatan.

Hanya pembedahan kecemasan dan pembedahan kanser akan dilakukan sehingga notis seterusnya.

Untuk mengelakkan kesesakan dan hubungan fizikal yang rapat, pihak hospital turut menjarakkan tempat duduk dan ini termasuk tempat duduk bagi bas ulang-alik yang disediakan.

Pihak hospital juga mengehadkan bilangan orang yang menggunakan surau dan lif kepada maksimum empat atau lima orang pada satu masa.

Sehubungan itu, pihak pengurusan hospital meminta kerjasama semua untuk memerangi wabak berkenaan.