Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Perubahan sering kali memerlukan pengorbanan dan keberanian untuk menghadapi rasa takut, termasuklah kebimbangan terhadap kegagalan, pandangan orang sekeliling serta ketidakmampuan untuk istiqamah.
Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk melawan rasa takut dengan keberanian, yakin dengan pertolongan Allah SWT dan menjadikan hidup ini semata-mata untuk mencari redhaNya.
Perkara ini antara yang disentuh dalam kandungan tazkirah bertajuk Berani untuk Berubah disampaikan semalam oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Bahagian Sumber Manusia, Perancangan dan Penyelidikan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Muhammad Safwan bin Mohd Suffian, bagi menyerikan Program Malam Munajat kali ke-169 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Program malam munajat berkenaan disertai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Acara malam tadi turut mengundang tetamu khas iaitu Timbalan Pendaftar (Pentadbiran, Sumber Manusia dan Estet), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Mohamad Samari bin Haji Mohamad Noh yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau As-Syafi’i, UNISSA.
Turut mengimarahkan acara tersebut ialah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UNISSA; ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari 66 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat dari seluruh negara. Juga, warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Exco dan Ketua Unit Keugamaan dan Takmir Surau As-Syafi’i, MPP UNISSA, Awangku Muhd Afiq Hanif bin Pengiran Mohd Hadzarin dari Surau As-Syafi’i, UNISSA.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Abdul Muhaimin bin Dr Haji Serbini dari Masjid Universiti, UBD.
Selesai tazkirah, diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Di-Pertua MPP UNISSA Sesi 2024/2025, Awang Mohammad Shafiq Hisyamuddin bin Rosli dari Surau As-Syafi’i, UNISSA.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Mohd Khairul Azmi bin Haji Bakar dari Masjid Kampung Serdang.
Malam Munajat anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit berbahaya.