Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubahan proses pengambilan jawatan perkhidmatan awam

    6Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memaklumkan beber-apa perubahan terhadap proses pengambilan dalam perkhidmatan awam khususnya bagi jawatan-jawatan dalam Bahagian II dan ke bawah dalam bidang kuasa SPA bermula 1 April 2024.

    Pejabat SPA dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa perubahan itu merupakan salah satu usaha bersepadu pejabat berkenaan dengan kementerian-kementerian agar proses pengisian jawatan kosong lebih lancar, teratur dan memenuhi keperluan pihak kementerian dan jabatan.

    Sehubungan itu, iklan jawatan-jawatan kosong yang tutup selepas 1 April 2024 akan diambil alih proses seterusnya oleh Urus Setia Pengambilan di kementerian-kementerian yang memegang kekosongan jawatan berkenaan.

    Bagi sebarang pertanyaan berkaitan permohonan jawatan kosong, pemohon-pemohon bolehlah menghadapkan terus ke kementerian yang berkenaan melalui modul Aduan Saya di portal Public Service Commission Recruitment 2.0 (PSCR 2.0) dengan memilih nama jawatan yang betul (jawatan yang dipohon) untuk memastikan pertanyaan atau aduan disalurkan ke kementerian yang betul khususnya bagi proses perakuan, ujian dan temu duga.

    Untuk makluman juga, permohonan jawatan kosong masih lagi menggunakan platform portal PSCR2.0 (www.recruitment.gov.bn).

    Orang awam terutamanya pencari kerja dan pemohon daripada kalangan warga perkhidmatan awam adalah disarankan untuk melengkapkan profil PSCR 2.0 dengan lengkap, betul, dikemas kini dan teratur dengan memuat naik dokumen-dokumen yang diperlukan sebelum membuat sebarang permohonan bagi melancarkan lagi proses permohonan dan pengisian jawatan kosong di perkhidmatan awam.

    Manakala iklan jawatan kosong dalam perkhidmatan awam masih boleh terus dilihat di portal PSCR 2.0, media sosial PSC.BN (Instagram, Facebook serta Telegram) dan juga di akhbar Pelita Brunei pada setiap Sabtu.

    Bagi sebarang pertanyaan berkaitan portal PSCR 2.0 boleh mendapatkan bantuan melalui saluran-saluran lazim seperti modul Aduan Saya PSCR 2.0, talian WhatsApp dan Telegram 7371961, media sosial PSC.BN serta Kaunter PSCR 2.0 di Tingkat 1, Wing B, Bangunan SPA.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda