SALT LAKE CITY – Suku kaum, peladang dan pihak pemuliharaan sudah mendapat tahu bahawa tidak ada monumen kebangsaan yang diperiksa oleh Presiden Donald Trump akan dihapuskan malah satu perubahan sedang giat dijalankan selepas pihak pentadbiran merancang untuk melakukan sesuatu. Perkara itu meninggalkan ramai penduduk saling berdebat dan perbalahan kerana menunggu maklumat daripada perubahan itu.
Setiausaha dalam negeri, Ryan Zinke berkata kepada AP bahawa tidak ada satu pun daripada 27 monumen akan dibatalkan, namun dia berkata bahawa akan berlaku satu perubahan yang mana akan mendorong kepada proses penggerudian, perlombongan atau lokasi industri baru di tapak tersebut. Rumah Putih berkata bahawa mereka baharu sahaja menerima cadangan yang diberikan oleh Zinke itu namun mereka belum memberikan kata-kata muktamad. Zinke sebelum ini berkata bahawa tidak ada perubahan akan dibuat kepada enam monumen kebangsaan AS yang telah ditinjau seperti di Montana, Colorado, Idaho, California, Arizona dan juga Washington malah kawasan Bears Ears di sebuah tanah suku kaum asli di Utah akan dikurangkan penjagaannya.
Pihak pemuliharaan dan pemimpin puak asli bertindak balas dengan amaran dan mereka seakan-akan tidak percaya akan laporan yang diberikan kepada mereka khususnya terhadap cadangan yang diberikan oleh Zinke itu. Mereka bersumpah untuk mencabar percubaan untuk merosakan dan mengecilkan sebarang monumen kebangsaan negara itu. Jacqueline Savitz, naib presiden kanan Oceana berkata bahawa sekitar lima monumen akan termasuk dalam kajian dan mengatakan perubahan itu tidak mendedahkan apa-apa maklumat yang sebenar. “Perubahan boleh merosakkan dan orang ramai berhak untuk mengetahui apakah perubahan itu,” tambah Jacqueline lagi kepada media.
Persoalan demi persoalan
Kumpulan Sgamma merupakan antara organisasi yang berharap kajian semula itu meretas pembaharuan akta 1906, Antiquities, undang-undang yang memberikan presiden kuasa untuk secara unilateral mencipta monumen kebangsaan. Zinke berkata bahawa dalam satu laporan ringkas, dia mendapati penciptaan beberapa monumen adalah sewenang-wenangnya atau lebih bermotivasi politik.

Organisasi tersebut telah menjadikan berjuta-juta ekar tanah untuk diperuntukkan dalam sistem perlindungan semasa pemerintahan Presiden Barack Obama dan juga beberapa orang presiden sebelumnya. Namun organisasi tersebut turut menyatakan kekecewaan disebabkan oleh laporan penuh tidak tersedia untuk maklumat mengenai perubahan itu. “Ia adalah jenis pengumuman monumen yang tidak baik dan tidak bersemangat,” kata Kathleen Sgamma, kumpulan perdagangan industri minyak barat, Energy Alliance.
Jika sekiranya, Trump menyokong akan cadangan yang diberikan oleh Zinke itu, ia akan berupaya mengurangkan beberapa kebimbangan yang paling ketara terhadap lawan presiden yang mana telah memberi amaran bahawa tanah awam dan kawasan laut sebenarnya boleh dilucutkan perlindungannya. Jika berlaku perubahan dan pengurangan kecil dalam satu wilayah, ia akan mencetuskan rintangan sengit termasuk beberapa tindakan undang-undang.
Organisasi tersebut bergabung dengan puak-puak asli untuk menjadikan Bears Ears sebagai tanah suci puak berkenaan dan akan melancarkan satu perjuangan undang-undang terhadap perubahan mahupun pengurangan terhadap tanah suci mereka itu. “Suku kaum kami berdiri bersama dan bersedia untuk menentang dalam hal litigasi,” kata Davis Filfred, perwakilan majlis Navajo Nation.
Kumpulan perikanan komersial di New England mengatakan bahawa mereka berharap untuk mendapat hak terhadap kawasan perikanan di Canyons Timur dan Seamounts Monumen Kebangsaan Marin iaitu sebuah kawasan di luar pantai New England yang telah ditetapkan tahun lepas dalam sistem perlindungan oleh Presiden Barack Obama.

Tapak-tapak
Antara tapak-tapak lain yang mungkin akan terkandung dalam perubahan seperti monumen Grand Staircase – Escalante di Utah, gerbang semula jadi, tapak arkeologi termasuk lukisan batu, Katahdin Woods, Cascade Sisikiyou dan banyak lagi. Manakala monumen marin merangkumi lebih daripada 340,000 batu persegi dan termasuk empat tapak di Lautan Pasifik serta pelbagai jurang bawah laut dan pergunungan New England juga termasuk dalam senarai tanah terlindung di AS.
Kumpulan-kumpulan alam sekitar cuba menentang akan akta antikuiti yang mana membolehkan presiden mencipta monumen kebangsaan tetapi hanya memberi kongres kuasa untuk memodifikasinya. Tidak ada presiden cuba untuk menghilangkan monumen kebangsaan negara walaupun ada sesetengah lokasi perlindungan telah dikurangkan ukurannya sebanyak 18 kali, menurut National Park Service. Zinke tidak menjawab langsung sama ada mana-mana monumen akan dibuka untuk pembangunan tenaga, industri perlombongan dan lain-lain yang telah diperjuangkan oleh Trump.
Zinke, bekas kongres pemerintah Montana menegaskan bahawa akses awam untuk kegunaan seperti memburu dan memancing akan dikekalkan malah diperkembangkan malah Zinke juga menekankan akan berusaha melindungi kepentingan suku puak asli di negara itu.
“Saya pernah mendengar bahawa ada sebahagian tanah akan dijual atau dipindahkan namun kisah itu sebenarnya palsu dan memalukan. Tanah itu sudah diketahui umum khas untuk perlindungan dan ia akan tetap begitu sepanjang masa,” tambah Zinke mengakhiri temu ramah bersama media. – AP