Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataan yang dikeluarkan, ingin memaklumkan kepada orang ramai waktu operasi bagi perkhidmatan-perkhidmatan kaunter JPD sepanjang bulan Ramadhan iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari kelepasan awam) dari pukul 8 pagi hingga 12:30 tengah hari di semua cawangan JPD termasuk Kompleks Latihan dan Ujian Memandu Litar JPD Sungai Akar khusus untuk perkhidmatan membaharui lesen memandu sahaja.
JPD dalam kenyataan menjelaskan bahawa bermula 27 April, orang ramai yang ingin berurusan di Ibu Pejabat JPD, Gadong khususnya untuk perkhidmatan membaharui lesen kenderaan, tukar milik, pinjaman (loan) bank atau kerajaan atau membatalkan tuntutan pinjaman (cease), kini sudah boleh membuat tempahan awal melalui aplikasi mudah alih QueUp.
Orang ramai bolehlah memuat turun aplikasi mudah alih QueUp dari Apple App Store atau Google Play Store dan seterusnya mengikut arahan tatacara membuat tempahan slot di dalam aplikasi berkenaan.
Pada masa yang sama, bermula 27 April juga, Ibu Pejabat JPD akan memberikan perkhidmatan ‘Bulk’ bagi permohonan-permohonan yang membaharui lesen kenderaan melebihi dua permohonan.
Manakala, permohonan membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan melalui perkhidmatan Talian Darussalam 123 yang mana kemudiannya membayar dan mengambil permohonan yang telah siap di cawangan-cawangan JPD berkenaan adalah masih diteruskan.
Sebagai alternatif kepada kaedah di atas khususnya bagi membuat permohonan membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan, orang ramai adalah digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan atas talian (online) melalui www.gov.bn.
Bagi sebarang pertanyaan untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Talian Darussalam 123 semasa waktu pejabat atau e-mel kepada info_ltd@jpd.gov.bn.