Baru-baru ini, seorang rakan saya mengalami wajahnya menjadi senget sebelah secara tiba-tiba.
Puncanya tidak diketahui dengan jelas. Ada yang beranggapan ia mungkin disebabkan angin, faktor mistik atau penyakit yang tidak dapat dikenal pasti secara zahir.
Rakan saya segera mendapatkan rawatan di hospital. Pemeriksaan darah dilakukan dan hasilnya menunjukkan semuanya dalam keadaan normal.
Namun begitu, doktor mengesyaki ia sebagai palsi serebrum dan memberikannya ubat serta merujuk kes tersebut ke bahagian fisioterapi untuk rawatan lanjut.
Walau bagaimanapun, atas nasihat ahli keluarga, beliau turut mencuba rawatan kampung sebagai alternatif.

Rawatan kampung yang dimaksudkan bukanlah bertemu dukun seperti yang sering disalah tafsir, tetapi bertemu dengan individu yang dikenali sebagai ‘orang pandai’ iaitu perawat yang menggunakan pendekatan berasaskan ayat-ayat suci Al-Quran, doa syifa’ dan bahan semula jadi seperti herba serta air yang telah didoakan (air bertawari).
Gabungan elemen perubatan tradisional dan Islam inilah yang sering diamalkan oleh masyarakat sejak dahulu dan ternyata masih relevan hingga hari ini.
Setelah mengamalkan air bertawari serta mengikuti pantang larang yang ditetapkan, Alhamdulillah, wajah rakan saya pulih seperti sediakala.
Menurut rakan-rakan lain, ada juga yang mengalami keadaan serupa, namun belum sembuh sepenuhnya, membuktikan bahawa keberkesanan rawatan bergantung kepada kesesuaian individu, keizinan Allah SWT, serta keikhlasan dalam berusaha mencari penawar.
Dalam hal ini, kita tidak seharusnya menolak mana-mana bentuk rawatan secara membuta tuli. Perubatan moden mempunyai asas sains dan teknologi yang maju serta boleh mengesan penyakit secara terperinci.
Perubatan tradisional pula diwarisi turun-temurun dan banyak menggunakan sumber alam semula jadi. Sementara itu, perubatan Islam memberikan keseimbangan rohani dan jasmani melalui doa, zikir dan ayat-ayat Al-Quran.
Oleh itu, adalah wajar untuk kita menggabungkan ketiga-tiga pendekatan Islam, tradisional dan moden dalam usaha mencari kesembuhan.
Kesimpulannya, penubuhan hospital berkonsepkan gabungan perubatan Islam, tradisional dan moden di Brunei mampu menjadi pencetus perubahan dalam landskap kesihatan negara selain mampu mengurangi kos ubat-ubatan moden.
Nur Afiah








