LOS ANGELES – Pegawai kecemasan tempatan memberi amaran bahawa potensi angin kencang akan memarakkan lagi kebakaran hutan di Los Angeles yang sudah pun merebak dengan begitu pantas. Perkara ini mengancam berpuluh-puluh buah rumah mewah yang dianggarkan bernilai jutaan dolar dan telah memaksa sekitar 200,000 penduduk wilayah itu untuk berpindah dan menyelamatkan diri.
Pihak berkuasa di wilayah itu telah meletakkan amaran ‘Ungu’ terhadap situasi kebakaran hutan di kawasan itu dan sangat berbahaya dengan bawaan angin yang boleh mencapai sekitar 80 batu sejam juga telah mengehadkan usaha untuk memadam kebakaran.
“Seperti yang diramalkan, angin bertambah secara mendadak,” kata Cal Fire, sebuah agensi kebakaran yang bertanggungjawab untuk perlindungan kebakaran di wilayah itu di dalam media sosial Twitter. “Orang ramai digesa untuk berjaga-jaga dan sentiasa bersedia jika berlakunya proses pemindahan, jika anda rasa tidak selamat, berpindah segera,” tambah agensi itu lagi dalam media sosial. Kebakaran hutan itu telah mencetuskan kerosakan dan kerugian serta memusnahkan sekitar 80,000 ekar tanah dan hutan.
Keadaan angin kencang menyebabkan satu lagi gelombang api terus marak dan merebak ke kawasan kejiranan Bel-Air yang dibanjiri dengan rumah-rumah mewah di Los Angeles malah kawasan kejiranan ini terus bertarung untuk menghadapi masalah lalu lintas ketika para penduduk mula meninggalkan rumah mereka. Asap dan abu memenuhi ruang udara kawasan itu dan di lereng bukit di bandar AS kedua terbesar itu. Anggota pemadam api bekerja keras untuk menyelamatkan rumah mewah yang diancam api tersebut.
Selebriti dipindahkan
Datuk bandar LA, Eric Garcetti berkata bahawa sekitar 230,000 penduduk telah dipaksa untuk meninggalkan rumah mereka khususnya di Los Angeles dan Ventura. ‘Angin yang kuat’ telah meniup dari timur laut ke barat daya menyebabkan api bertambah marak dan pihak berkuasa di kawasan itu memberi amaran kepada penduduk untuk sentiasa bersedia menyelamatkan diri dari semasa ke semasa. Di Bel-Air, para penduduk sudah bersedia untuk berlaku demikian.

Api ‘Skirball’, terus menyala baru-baru ini dan merebak ke sekitar 150 ekar dan api itu terus merebak serta mengancam beberapa rumah selebriti seperti CEO SpaceX, Elon Musk dan pop superstar, Beyonce. Polis mengetuk setiap pintu rumah dan menggunakan pembesar suara mereka untuk memastikan bahawa kesemua penduduk di kawasan itu untuk meninggalkan rumah mereka.
“Mereka memberitahu kami untuk keluar dan pergi,” kata seorang pegawai kepada wartawan AFP.
Evan Kleib, merupakan selebriti terakhir untuk dipindahkan dan media AS melaporkan bahawa kawasan Belaga Air Moraga Estate milik hartawan media, Rupert Murdoch, yang menempatkan kebun anggur terus diancam dengan api mengganas itu.
Manakala penyanyi terkenal, Lionel Richie telah membatalkan konsertnya dan telah membantu keluarganya untuk meninggalkan rumah mereka dan pelawak Hollywood, Chelsea Handler dan pereka, Adrienne Maloof adalah di antara selebriti yang terpaksa meninggalkan kediaman mewah mereka.
“Tidak pernah saya terfikir bahawa saya akan terpaksa meninggalkan rumah saya disebabkan oleh situasi ini, saya pasrah dan reda,” kata Chrissy Teigen, isteri kepada John Legend dalam media sosial miliknya.
“Kami sebenarnya baik-baik sahaja malah kami turut memikirkan akan keadaan mereka yang terjejas dan akan terus memberikan mereka sokongan serta dorongan,” tambah Chrissy lagi dalam media sosial. Ramalan mengatakan bahawa angin boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih jauh lagi. Kawasan kejiranan LA yang kaya di antara Mulholland Drive ke utara dan Sunset Boulevard di selatan adalah sebahagian daripada zon pemindahan.


Merebak bagaikan satu seni
Institusi Seni Getty iaitu sebuah galeri untuk karya-karya seni termasuk karya agung Edouard Manet telah ditutup dan pihak berkuasa institusi itu berkata bahawa sistem penapisan udara terus melindungi galeri itu daripada asap. “Universiti California yang berpestij di California terletak berhampiran dengan kawasan kebakaran itu dan kebanyakan pelajarnya telah dipindahkan.
Manakala puluhan buah sekolah juga ditutup, seperti Sekolah Santa Monica. Sehingga ke hari ini, kebakaran hutan dijangka akan berterusan di kawasan Ventura County dan api itu terus membakar hutan-hutan serta ditambah dengan kekuatan angin yang melanda di kawasan tersebut membuatkan api sukar untuk dikawal oleh pihak bomba.
Darurat
Sekurang-kurangnya 4,000 anggota bomba telah ditugaskan untuk mengawal zon kebakaran itu dan sehingga ke hari ini, kebakaran itu telah membakar dan memusnahkan sekitar 11,000 ekar tanah di selatan Los Angeles.
Gabenor California, Jerry Brown telah mengisytiharkan keadaan kecemasan di kawasan itu bermula Selasa lepas. Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan berkata bahawa mereka telah mengeluarkan dana untuk memberikan bantuan kepada mangsa. Kebakaran hutan yang berlaku di California kali ini merupakan kebakaran hutan yang paling dahsyat sekali di negara itu. – AFP