DALLAS – Masha Gregory merasa gementar untuk berpindah dari rumah ibu bapanya ke rumahnya sendiri. Wanita berumur 26 tahun dari Pennsylvania itu bimbang jika dia tidak dapat mencari kawan baru. Dia juga merasa gementar untuk tinggal jauh dari ibu bapanya. Namun, selepas tinggal di pangsapurinya di kompleks yang dikhususkan bagi orang dewasa yang menghidap autisme, dia telah mendapat kawan baru dan menyukai kebebasannya.
“Seronok rasanya berpindah keluar kerana saya mempunyai hidup saya sendiri sekarang,” kata Gregory yang tinggal di kawasan kemajuan Pittsburgh. Setengah daripada 42 unitnya dikhaskan untuk orang-orang dewasa yang menghidap autisme. “Saya mahu keluar dan balik dengan bebas,” kata Gregory yang suka melukis dan mengambil gambar.
Kompleks yang bernama Dave Wright Apartments itu dibuka pada Disember lalu dan merupakan antara pembangunan perumahan inovatif di seluruh Amerika Syarikat yang memberikan tempat untuk orang dewasa yang menghidap autisme bagi meningkatkan kesedaran mengenainya serta untuk mengubah kefahaman orang lain mengenainya.
Kemajuan itu selalunya diterajui oleh para ibu bapa yang nampak keinginan anak dewasa mereka untuk bebas. Mereka juga memikirkan mengenai penjagaan anak mereka kelak.
Menurut wakil dari Institusi Autisme A.J Drexel, 87 peratus orang dewasa yang menghidap autisme tinggal bersama ibu bapa mereka antara waktu sekolah tinggi dan pada umur awal 20an. Ini menunjukkan peratus yang sangat tinggi berbanding penduduk biasa.

“Mereka juga ingin berdikari dengan tinggal sendiri dan ingin bekerja. Mereka juga memiliki keinginan untuk melibatkan diri dalam memberikan sumbangan. Pada masa ini, tidak banyak peluang untuk mereka melakukan perkara-perkata tersebut,” kata Debra Caudy yang bekerja bersama suaminya dalam pembangunan perumahan berhampiran Dallas yang diilhamkan oleh anak mereka Jon, yang menghidap autisme berumur 19 tahun.
Connie, Ibu Gregory berkata bahawa anaknya jelas menunjukkan perkembangan yang baik sejak berdikari di rumah barunya.
“Saya rasa dia sedar dia dapat menyesuaikan diri dan tidak pernah terfikir bahawa dia akan merasa sangat selesa untuk berada di tempat lain,” kata Gregory.
Masha Gregory memberitahu dirinya mempunyai “sedikit autisme,” dan gangguan pemprosesan auditori yang bermaksud telinga dan otaknya tidak bekerjasama dengan baik.
Autisme menjejaskan kebolehan seseorang untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain, tapi ia mempunyai banyak simptom dan tahap.
Antara simptom-simptomnya adalah tidak bercakap, mengulangi tingkah laku tertentu dan tidak mahu perubahan dalam aktiviti harian.
Sebahagiannya mempunyai kecerdasan yang lebih rendah dari normal. Ada juga yang mempunyai kecerdasan yang normal atau tinggi.
Perumahan yang menempatkan orang dewasa yang menghidap autisme terletak di kawasan yang berbeza-beza.
Ada yang terletak di bandar-bandar besar, dan ada yang terletak di bandar-bandar kecil. Sebahagiannya seperti kompleks pangsapuri Gregory dan sebahagiannya lagi mempunyai rumah dengan ruang tamu kongsi serta bilik tidur dan bilik mandi peribadi.
Ada tempat yang mempunyai pekerja untuk membantu para penghuni, dan ada tempat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan sokongan.
“Tempat yang sesuai untuk seseorang individu itu tidak semestinya sesuai untuk semua,” kata Carolyn Klebanoff, pengasas bersama Sweetwater Spectrum, sebuah perumahan yang menawarkan empat buah rumah kongsi di Sonoma, California. “Mereka perlu diberikan pelbagai pilihan.”
Sweetwater yang dibuka pada tahun 2013 terletak berdekatan dengan pekan. Ia mempunyai pusat masyarakat, ladang, rumah hijau dan kolam. Perumahan itu mempunyai siling pengurangan bunyi dan sistem pemanasan dan penghawa dingin yang tidak bising bagi para penghuni yang sangat sensitif kepada bunyi bising. Ini termasuk anak perempuan Klebanoff yang berumur 23 tahun yang tidak bercakap serta orang yang menghidap autisme fungsi-tinggi.


“Ia hanya seperti tempat untuk tinggal,” kata penetap Sweetwater, Gwen Fisher yang berumur 24 tahun. Dia menghargai tempat yang dikhususkan bagi orang yang menghidap autisme itu.
Fisher memberitahu dia menyertai aktiviti-aktiviti yang ditawarkan di Sweetwater tapi dia juga menyertai masyarakat luar seperti bekerja membawa anjing bersiar-siar dan menjadi sukarelawan dalam bank makanan dan perlindungan haiwan.
Desiree Kameka, pengarah pergaulan masyarakat dan rangkaian perumahan di Madison House Autism Foundation, Maryland berkata, perumahan seperti itu mampu untuk memberikan lebih kebebasan daripada rumah-rumah kongsi kerana perumahan sebegitu selalunya terikat kepada pembekal perkhidmatan sokongan tertentu.
“Ia memberikan kelonggaran dan kawalan kepada orang yang tinggal di sana,” katanya sambil menambah bahawa para penghuni rumah kongsi kadang-kala perlu melakukan aktiviti luar yang sama.
Katanya, ramai orang yang menghidap autisme tidak berkelayakan untuk mendapat perkhidmatan kerajaan selepas mereka meninggalkan sekolah. Perumahan-perumahan ini dapat membantu untuk memberikan sokongan yang mencukupi supaya mereka dapat tinggal sendiri.
“Sebahagian masyarakat ini boleh memberikan mereka peluang yang mereka tidak akan dapat di tempat lain. Mereka akan dipaksa tinggal bersama keluarga,” katanya.
Elliot Frank, presiden Perbadanan Perumahan Autisme yang tidak berasaskan keuntungan di Pittsburgh yang terletak di belakang Pangsapuri Dave Wrights, kediaman kepada Masha Gregory, telah melihat masyarakat terbentuk di sana. Frank memberitahu dia mendapat idea konsep itu selepas mendengar seorang ahli perniagaan bercakap mengenai pengambilan kerja bagi individu autistik dan memikirkan di mana mereka akan tinggal.
“Konsep yang kita panggil sebagai perumahan untuk orang berkeperluan khas, bukan seperti dulu,” kata Frank. – AP