Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Peruntuk RM601 juta untuk 17 projek pembaharuan bandar’

    KUCHING, 14 OKT – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM601 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi melaksanakan 17 projek Pembaharuan Bandar di Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

    Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak berkata projek-projek yang terletak di Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Lawas itu kini berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan.

    “Ia merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak berdasarkan kepada pembangunan mampan dan perancangan seimbang bagi menjamin kualiti hidup masyarakat selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) melalui kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar ke arah Sarawak Maju menjelang tahun 2030,” katanya.

    Berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah, Surat Hakmilik Tanah dan Kunci Rumah bagi Ketua Isi Rumah (KIR) Kampung Pulo Ulu hari ini, beliau berkata Projek Pembangunan Darul Hana di bandar raya ini merupakan projek perintis bagi inisiatif berkenaan.

    “Proses pembangunan Darul Hana telah dirancang dengan teliti dan mengambil kira keperluan-keperluan mendesak penduduk-penduduk kampung bagi membolehkan objektif dan impak positif projek ini dicapai,” katanya.

    Awang Tengah berkata sehingga 30 September lepas, 564 unit rumah telah siap dibina di projek Darul Hana ini untuk KIR daripada tiga kampung dan lot-lot di sekitar Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Jalan Demak. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda