Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Perbahasan Usul Menjunjung Kasih yang telah dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, disambung dengan perbahasan daripada empat orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada Persidangan MMN ke-21 yang bersidang bagi hari ketiga di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Usul berkenaan telah diluluskan yang mana MMN menyembahkan sepenuh-penuhnya menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan Baginda ke MMN dan atas titah sewaktu istiadat pembukaan.
Sementara itu, pada sebelah petang, persidangan diteruskan dengan perkara utama iaitu Bacaan Pertama, Bacaan Kedua serta Kenyataan Belanjawan bagi Rang Undang-undang (2025) Perbekalan, 2025/2026 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Dalam Kenyataan Belanjawan, Yang Berhormat Dato menyatakan rang undang-undang itu adalah bagi membolehkan pengeluaran sebanyak $6.35 bilion dari Kumpulan Wang Yang Disatukan, bagi Tahun Kewangan 2025/2026 dan untuk memperuntukkannya bagi maksud-maksud tertentu bagi tahun fiskal.
Majlis juga mendengar cadangan dan kenyataan usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkenaan Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan yang memperuntukkan sejumlah $480 juta daripada Kumpulan Wang Kemajuan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) bagi tahun 2025/2026.
Persidangan MMN akan disambung pada 4 Mac, jam 9:30 pagi.
