Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) sebulat suara meluluskan peruntukan belanjawan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) berjumlah $83,860,360 bagi Tahun Kewangan 2022/2023 dan Rancangan Kemajuan Negara berjumlah $14,458,840 pada hari kelima permesyuaratan MMN di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, petang tadi.
Ketika membentangkan peruntukan KKBS, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin telah menghuraikan enam fokus strategi sebagai pelengkap kepada perlaksanaan Pelan Strategik KKBS bagi tahun kewangan 2022/2023.
Antara strategi berkenaan adalah mengemas kini dan merebiu dasar, akta dan pelan-pelan tindakan, iaitu pengemaskinian akta dan dasar yang akan meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan dengan proses yang lebih efisien, cepat dan tepat pada masa serta program intervensi yang lebih berimpak secara inklusif antaranya Penguatkuasaan Perintah Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Orang Kurang Upaya (Pindaan) 2021 dan Perintah Orang Kurang Upaya, 2021 bermula 1 Oktober 2021.
Beliau mengongsikan, beberapa strategi dan pelan tindakan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial telah dan sedang dikemas kini seperti Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan yang telah diluluskan pada 2020, Pelan Tindakan OKU dan Pelan Tindakan Isu Warga Emas.
Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa Sistem Kebajikan Negara (SKN) telah dapat memberikan gambaran kecerdasan buatan (AI) yang menyeluruh untuk membantu dalam merangka dasar dan strategi. Data ini akan dioptimumkan melalui rangkaian kerjasama bersama pihak Universiti Brunei Darussalam dan Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS) sebagai asas kepada penggubalan Dasar Pembasmian Kemiskinan.

Khidmat konsultan profesional bagi penyediaan laporan dapatan ke arah Pelan Tindakan Revitalisasi Pusat Bahagia juga telah dilaksanakan.
Menurut beliau, Pusat Bahagia akan memperkenalkan Program Intervensi Awal khususnya bagi sindrom Down, Pusat Penjagaan Harian khususnya bagi palsi serebrum, Pusat Latihan Kurang Penglihatan dan Kurang Pendengaran, dan Pusat Sumber atau sheltered workshop. Perlaksanaan disasarkan bermula pada 2022 sehingga 2023.
Penelitian bagi mewujudkan Dasar Pekerjaan golongan OKU dan golongan susah melalui kerjasama dengan MPEC juga sedang dilaksanakan.
Pembinaan kompleks OKU juga dalam perancangan yang bertujuan bagi penyediaan prasarana kegiatan persa-tuan OKU, latihan kemahiran, pembangunan kapasiti, hab keusahawanan dan rehabilitasi.
Kajian Perkembangan Wanita pula akan dilaksanakan bersama satu institusi kajian pada tahun ini.
Sementara itu, strategi lain termasuk mengembang maju masyarakat progresif ke arah masyarakat cemerlang, bersatu-padu, resilien dan pemedulian; melahirkan belia harapan yang berwawasan sebagai peneraju pembangunan negara, mengukuhkan jati diri dan patriotisme sebagai teras pembangunan negara yang berpaksikan Melayu Islam Beraja (MIB), mengukuhkan ekosistem sukan yang inklusif dan cemerlang, serta memaksimumkan penggunaan teknologi dan infrastruktur.
“Alhamdulillah, kesemua projek di bawah RKN ke-11 adalah di dalam fasa pembangunan dan akan selesai sebelum berakhirnya RKN ke-11. Insya-Allah, kita akan melihat pembukaan semula Bangunan Kastam Lama Dermaga Diraja dan Muzium Brunei.
“Penggunaan semula Stadium Negara Hassanal Bolkiah sebagai hab latihan atlet elit dan hab komuniti dengan nilai tambah yang lebih tinggi, dan kompleks perlindungan yang memberikan suasana kondusif kepada penghuni perlindungan,” ujarnya.