Thursday, October 17, 2024
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Peruntukan infrastruktur penting untuk Sabah’

    KOTA KINABALU, 16 OKT – Sabah percaya dengan komitmen kerajaan Persekutuan untuk mendengar dan memahami keutamaan yang diperlukannya bagi memastikan ia boleh terus maju dengan memiliki infrastruktur asas yang setanding dengan negeri-negeri lain, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya.

    Beliau berkata kesinambungan penyaluran peruntukan pembangunan infrastruktur kepada Sabah dalam Belanjawan 2025 amat penting untuk memastikan penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya luar bandar, bekalan elektrik dan air dilakukan secara berterusan demi manfaat rakyat.

    Shahelmey turut menyuarakan harapan agar peruntukan kepada Sabah dalam Belanjawan 2025 dapat ditingkatkan berbanding tahun-tahun sebelumnya, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kadar pemberian khas interim kepada Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta mulai tahun depan.

    “Dalam aspek pembangunan infrastruktur, kerajaan Sabah sering menyatakan bahawa kita memerlukan peruntukan tambahan terutama bagi infrastruktur bekalan elektrik, air dan jalan raya.

    “Selain jalan raya kita juga memerlukan peruntukan tambahan dalam penyelenggaraan infrastruktur jalan lama, pembaikan cerun, pemasangan lampu jalan serta pembetungan dan perparitan. Penggantian peralatan usang dalam sistem bekalan air juga sangat diperlukan di Sabah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata pembangunan tiga struktur asas iaitu elektrik, air dan jalan raya perlu diberi tumpuan khusus untuk kemudahan rakyat serta merapatkan jurang perbezaan infrastruktur antara Sabah dan Semenanjung.

    Ahli Parlimen Putatan itu juga berpandangan sekolah daif dan klinik kesihatan di Sabah perlu dinaik taraf memandangkan masih ada bangunan dalam struktur kayu yang berusia puluhan tahun selain berharap kerajaan Persekutuan dapat membekalkan peralatan terkini bagi pejabat Persekutuan termasuk Jabatan Imigresen di negeri itu. – Bernama

    Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan (kiri) meninjau perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Telipok. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda