Saturday, March 22, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peruntukan khas disediakan bagi keperluan mendesak

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi setiap kementerian dan jabatan adalah khusus untuk membiayai operasi dan core business kementerian dan jabatan berkenaan.

    “Sebagai contoh, peruntukan untuk pembaikan jalan raya adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya, manakala bantuan kepada masyarakat yang memerlukan adalah di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat.

    “Sekiranya berlaku kejadian atau masalah yang tidak dijangkakan dan tidak termasuk dalam peruntukan yang telah ditetapkan untuk sesuatu jabatan, seperti kejadian
    tanah susur atau kerosakan besar yang memerlukan bantuan segera, agensi yang berkenaan bolehlah memohon peruntukan kepada Kementerian Kewangan dan Ekonomi.”

    Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann mengenai peruntukan bagi ahli-ahli MMN (yang dilantik) dalam mewakili daerah-daerah dan membantu kementerian-kementerian berkepentingan untuk mengatasi masalah yang timbul, seperti kerosakan jalan raya, rumah dan bantuan asasi lain semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan peruntukan khas untuk bencana alam telah disediakan dan boleh digunakan untuk menangani keadaan darurat yang melibatkan kerosakan besar yang memerlukan tindakan segera.

    Dengan itu, ulasnya lagi, setiap agensi berkaitan mempunyai prosedur-prosedur tertentu untuk memohon peruntukan jika berlakunya keperluan mendesak yang tidak dapat ditangani oleh peruntukan tahunan yang telah ditetapkan.

    “Oleh itu, peruntukan-peruntukan yang telahpun disediakan akan disalurkan dengan mengambil kira keutamaan dan kesesuaian dengan keadaan semasa.”

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda