Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Peruntukan Kementerian Kesihatan bagi Tahun Kewangan 2022/2023 berjumlah $391,937,883 telah diluluskan sebulat suara pada hari kelima permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Menerangkan mengenai peruntukan berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan bahawa peruntukan keseluruhan tahun kewangan 2022/2023 yang disokong bagi Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan sebanyak 1.2 peratus iaitu $391,937,883 berbanding 2021/2022 iaitu berjumlah $387,211,117.
“Sebahagian besar peruntukan adalah bagi membiayai gaji kakitangan iaitu sebanyak 58.3 peratus dan selebihnya adalah bagi perbelanjaan berulang-ulang iaitu 41.7 peratus; dan pebelanjaan kemajuan 1.5 peratus,” jelasnya.
Beliau menerangkan lanjut bahawa pelaburan negara dalam sektor kesihatan meskipun dianggap kecil berdasarkan kepada kadar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang mana masih rendah berbanding negara-negara lain, pencapaian negara adalah di tahap yang baik jika dinilai daripada status kesihatan rakyat dan penduduk di negara.
Ini dapat dilihat melalui pencapaian petunjuk-petunjuk kesihatan global khususnya di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berkaitan kesihatan khususnya petunjuk-petunjuk vital termasuk kadar kematian anak damit, kadar kematian ibu semasa melahirkan dan prevalen penyakit berjangkit seperti HIV yang kekal di tahap yang rendah dan kadar jangka hayat, indeks liputan kesihatan sejagat, liputan penjagaan antenatal dan imunisasi serta rawatan bagi penyakit TB, adalah kekal di tahap yang tinggi.
Dalam pembentangannya lagi, Yang Berhormat Dato berkata bahawa sistem kesihatan yang dinamik dan resilien perlu dititikberatkan bagi memastikan penduduk negara mampu membangun negara ke arah pencapaian sosioekonomi yang mampan dan berkembang pesat dan maju.
Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019-2023 terus dijadikan peta jalan bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif jangka masa sederhana di mana kira-kira 70 peratus daripada inisiatif-inisiatif strategik telah dapat dilaksanakan pada jangka masa yang telah ditetapkan sehingga Disember 2021.
