KENINGAU, 10 JULAI – Kerajaan pusat memperuntukkan RM200 juta dalam usaha meningkatkan pengeluaran susu segar negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Beliau berkata berdasarkan statistik pada tahun lepas, negara hanya mampu mengeluarkan sebanyak 40.6 juta liter susu segar berbanding 68.8 juta liter yang diperlukan.
Untuk menampung kekurangan itu, Malaysia mengimport 20 juta liter susu segar termasuk dari Australia dan New Zealand, katanya kepada pemberita selepas melawat Program Tenusu Syarikat Evergreen Livestock Sendiri Berhad di sini, hari ini.
Che Abdullah berkata, statistik kementerian pada 2018 menunjukkan pengaliran wang ke luar negara untuk menampung keperluan susu segar bernilai RM3.76 bilion. – Bernama