KUALA LUMPUR, 5 Mei – Peruntukan pembangunan bagi projek di Sarawak pada tahun 2019 sahaja berjumlah RM4.3 bilion, peruntukan kedua terbesar antara negeri-negeri di Malaysia selepas Sabah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata dakwaan kerajaan negeri Sarawak bahawa kerajaan Persekutuan telah mengabaikan negeri Sarawak dari segi pembangunan infrastruktur berikutan pengumuman Kementerian Kewangan sebanyak 49 projek dilaksanakan di Sandakan bernilai RM2.28 bilion,adalah tidak benar.
“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa memang benar terdapat 49 projek pembangunan yang diluluskan di daerah Sandakan untuk tempoh lima tahun dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.28 bilion dan peruntukan pembangunan untuk tahun 2019 sebanyak RM183 juta.
“Pada masa sama, terdapat lebih daripada 550 projek pembangunan di seluruh negeri Sarawak dengan kos keseluruhan mencecah RM41 bilion,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Lim berkata kerajaan negeri Sarawak tidak seharusnya mempertikaikan pemberian RM183 juta untuk daerah Sandakan bagi tahun 2019, ketika negeri Sarawak diperuntukkan RM4.3 bilion untuk tahun ini. – Bernama