SIBU, 21 Julai – Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM100,000 bagi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menganjurkan Pesta Kebudayaan Borneo (BCF).
Ini menjadikan peruntukan yang diterima MPS sebanyak RM250,000.
Perkara itu diumumkan menterinya, Datuk Abdul Karim Hamzah semasa merasmikan Pesta Kebudayaan Borneo 2017 di Dataran Bandar Sibu malam tadi.
“Pesta ini bukan sahaja mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama di Sibu bahkan membuka peluang berniaga untuk masyarakat peniaga,” katanya.

Penganjuran pesta kebudayaan itu, katanya, mampu mempromosi Sibu sebagai pintu masuk ke kawasan tengah Sarawak dan berharap ia akan menjadi penanda aras kepada penganjuran program yang sama.
Pada tahun lepas, Pesta Kebudayaan Borneo menarik lebih 500,000 pengunjung.
Dianjurkan sehingga 29 Julai, Pesta Kebudayaan Borneo itu menampilkan kebudayaan masyarakat melalui tiga pavilion iaitu Pavilion Masyarakat Melayu/Melanau, Pavilion Masyarakat Dayak dan Pavilion Masyarakat Cina. – Bernama