Thursday, January 30, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perusahaan kerepek mampu ubah hidup suri rumah, ibu tunggal

    SUNGAI SIPUT – Perusahaan kerepek yang dijalankan sekumpulan wanita golongan B40 terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal di Kampung Jaya Setia menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) sejak November lepas dilihat mampu mengubah kehidupan mereka.

    Perusahaan kerepek dijalankan 16 peserta wanita berusia antara 19 hingga 60 tahun itu menghasilkan pelbagai jenis kerepek yang menjadi kudapan pilihan orang ramai, antaranya kerepek karang pulut, kerepek halia, kerepek kacang peas, kerepek labu serta kerepek kuih tiram.

    Pengurus Operasi JS Licious, Nor Hayati Abdul Karim berkata setakat ini peserta projek SejaTi MADANI Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jaya Setia mampu memperoleh pendapatan antara RM3,000 sehingga RM5,000 sebulan hasil jualan kerepek berkenaan di sekitar negeri Perak.

    “Walaupun masih baru, tetapi Alhamdulillah sambutan diterima sangat memberangsangkan dan kami menerima maklum balas yang positif daripada pelanggan serta kebiasaannya mereka (pelanggan) akan ulangi pesanan kerepek yang dibeli.

    “Kami (peserta) menerima tunjuk ajar daripada pihak Kolej Komuniti Sungai Siput yang mengajar pelbagai resipi dan teknik untuk menghasilkan kerepek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran produk berkenaan yang disempurnakan Ahli Parlimen Sungai Siput S. Kesavan, baru-baru ini.

    S. Kesavan (dua, kiri) menggoreng muruku pada Majlis Pelancaran Produk Kerepek Sejati MADANI. – Bernama
    Pekerja JS Licious menunjukkan Produk Kerepek Sejati MADANI. – Bernama
    Nor Hayati Abdul Karim (kiri) bersama Ebby Shaifullah Yussof (kanan) menunjukkan Produk Kerepek Sejati MADANI. – Bernama

    Nor Hayati berkata pihak JPKK Kampung Jaya Setia juga banyak membantu dari segi pengoperasian, pentadbiran dan memberi nasihat kepada mereka mengenai cara menjalankan perusahaan kerepek.

    Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Jaya Setia, Ebby Shaifullah Yussof berkata peruntukan sebanyak RM100,000 yang diterima digunakan sebaik mungkin dengan membeli pelbagai peralatan dan mesin serta membaik pulih bengkel memproses kerepek bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

    “Kami mengharapkan dapat memasarkan produk kerepek ini di seluruh negara atau mungkin dapat menembusi pasaran di Asia Tenggara,” katanya.

    SejaTi MADANI adalah inisiatif Kerajaan Perpaduan yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi Program SejaTi MADANI yang memberi tumpuan kepada lima sektor iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda