Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perusahaan tempatan terima anugerah berprestij

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Tujuh anugerah berprestij telah disampaikan kepada syarikat-syarikat terpilih pada edisi pertama The Proudly Brunei Business Award, salah satu inisiatif baru diperkenalkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) melalui Darussalam Enterprise (DARe), yang berlangsung di Tarindak D’Seni, kelmarin.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid yang turut menyempurnakan penyampaian anugerah.

    Anugerah dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Kategori Terbuka di mana A.Ayam Berjaya Sdn Bhd menerima anugerah bagi Pertumbuhan Perniagaan, Poni Group Sdn Bhd bagi Inovasi, GoMamam bagi Startup, BWN Design Enterprise bagi Keusahawanan Belia dan Taurean Bakeshop & Cafe bagi Keusahawanan Wanita.

    Manakala itu, di bawah Kategori Kluster Prioriti, SPHI menerima anugerah bagi Makanan dan Poni Group Sdn Bhd bagi Perkhidmatan.

    Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LKEB dan DARe, Daniel Leong dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa The Proudly Brunei Business Award menandakan peristiwa penting dalam perjalanan mereka ke arah mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan dalam komuniti perniagaan Brunei.

    Wakil dari GoMamam ketika menerima anugerah bagi Startup dalam Kategori Terbuka di Tarindak D’Seni. – GAMBAR SERAHAN DARE

    “Melalui anugerah ini, kami amat percaya bahawa dengan mengiktiraf dan menghargai pencapaian cemerlang, kita bukan sahaja meraikan kejayaan perniagaan tetapi juga memberi inspirasi kepada lebih banyak perniagaan untuk meneruskan semangat inovasi dan kecemerlangan,” tambahnya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis berkenaan turut dihadiri oleh para penaja, rakan-rakan kongsi, termasuk syarikat terkemuka seperti Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Brunei LNG Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Bank Usahawan Berhad, Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd, DST Sdn Bhd, Brunei Innovation Lab (BIL), Dynamik Technologies Sdn Bhd, Syarikat Penerangan Diraja Brunei Sdn Bhd (RB), dan Perkhidmatan PricewaterhouseCoopers (Brunei) sebagai juruaudit yang dilantik dan rakan kongsi Proudly Brunei Business Awards.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai kerajaan, pihak berkepentingan utama dan komuniti perniagaan yang mengambil bahagian dalam anugerah tersebut.

    Menurut kenyataan yang diberikan, majlis anugerah berprestij berkenaan bertujuan untuk meraikan pencapaian perusahaan dan syarikat Brunei yang telah membuktikan kualiti dan prestasi luar biasa dalam industri masing-masing.

    Ia bertujuan untuk mengiktiraf perniagaan tempatan yang cemerlang, sambil menyediakan platform untuk rangkaian dan kerjasama, dan akhirnya meningkatkan profil dan kejayaan perniagaan Brunei di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    Tema tahun ini adalah Pemangkin Untuk Hari Esok yang Lebih Baik, yang penghormatan kepada perniagaan yang telah mencapai pertumbuhan sambil memberikan sumbangan yang besar dalam sektor masing-masing.

    Tema tersebut menekankan peranan perniagaan sebagai pemangkin kepada perubahan ekonomi yang positif, memberi tumpuan kepada bidang-bidang utama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda