Thursday, July 4, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Perusuh mengamuk, 67 ditahan

    ISTANBUL, 1 JULAI – Polis Turkiye menahan 67 orang hari ini selepas sekumpulan perusuh mengamuk di sebuah bandar Anatolia setelah seorang lelaki Syria dituduh mengganggu seorang kanak-kanak.

    Sekumpulan lelaki menyerang perniagaan dan hartanah Syria di Kayseri pada petang kelmarin, dengan video di media sosial menunjukkan sebuah kedai runcit dibakar.

    Presiden Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan keganasan terbaharu terhadap komuniti pelarian Syria di Turkiye.

    “Tidak kira siapa mereka, membakar jalan dan rumah rakyat tidak boleh diterima,” katanya sambil memberikan amaran bahawa ucapan kebencian tidak seharusnya digunakan untuk kepentingan politik.

    Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata warga Syria itu, yang hanya dikenali dengan parap sebagai IA, telah ditangkap oleh penduduk Turkiye dan diserah kepada polis.

    Gambar Freepik

    Yerlikaya berkata di X bahawa lelaki Syria itu disyaki mengganggu seorang budak perempuan Syria, yang merupakan saudaranya.

    Beliau menyatakan bahawa penduduk Turkiye yang berkumpul di kawasan itu bertindak ‘melanggar undang-undang’ dan dalam cara ‘yang tidak bersesuaian dengan nilai-nilai kemanusiaan kita,’ merosakkan rumah, kedai dan kereta milik rakyat Syria.

    Enam puluh tujuh orang telah ditahan selepas serangan itu, katanya.

    “Turkiye merupakan sebuah negara aman dan tenteram. Pasukan keselamatan kami terus melaksanakan tugas mereka menentang semua jenis jenayah dan penjenayah hari ini, seperti yang dilakukan oleh mereka semalam.”

    Dalam salah satu video seorang lelaki Turkiye kedengaran menjerit: “Kami tidak mahu lagi rakyat Syria! Kami tidak mahu lagi warga asing.”

    Pihak berkuasa tempatan meminta semua orang bertenang dan mendedahkan mangsa adalah seorang kanak-kanak warga Syria berusia lima tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...