ANKARA, 2 JULAI – Bantahan di Perancis selepas polis menembak mati seorang remaja awal minggu ini, memasuki malam kelima berturut-turut dengan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis, serta dakwaan penglibatan kumpulan sayap kanan.
Rakaman di media sosial memaparkan penunjuk perasaan membakar pelbagai kawasan di seluruh Paris, lapor agensi Anadolu.
Penunjuk perasaan turut menyerang polis menggunakan bunga api sambil membakar penghadang di kawasan kejiranan popular Barbes.
Polis melakukan rondaan di sekitar kawasan tumpuan pelancong Champs-Elysees Avenue tetapi pertempuran antara penguat kuasa undang-undang dan penunjuk perasaan meletus di jalan-jalan sempit ketika mereka cuba menghalang rompakan dan vandalisme.
Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne tiba di pusat krisis di Paris yang beroperasi di bawah Kementerian Dalam Negeri.
“Malam ini, 45,000 pegawai polis bersama ribuan anggota bomba dikerah untuk melindungi ketenteraman awam,” katanya.
Video dalam talian menunjukkan situasi huru-hara tercetus di bberapa bandar termasuk Paris, Marseille, Lyon, Strasbourg dan Nice. – Bernama
