SHANGHAI — Seorang budak lelaki berusia 11 tahun di timur China menjadi tumpuan media sosial tanah besar selepas dia dimasukkan ke hospital akibat menelan sebatang jongkong emas seberat 100 gram ketika bermain di rumah.
Menurut laporan Modern Express, jongkong emas tersebut berjaya dikeluarkan oleh pasukan perubatan di sebuah pusat perubatan terkenal di Suzhou, wilayah Jiangsu, melalui pembedahan yang dilakukan pada awal April.
Selepas menelan jongkong emas itu, budak lelaki yang dikenali dengan nama keluarga Qian memaklumkan kepada ibu bapanya bahawa dia berasa sedikit bengkak di bahagian perut, namun tidak mengalami sebarang ketidakselesaan lain.
Bimbang akan keadaan anak mereka, ibu bapa Qian segera membawanya ke Hospital Kanak-kanak Bersekutu Universiti Suzhou untuk pemeriksaan menyeluruh.
Hasil imbasan X-ray mendapati terdapat objek logam berketumpatan tinggi tersangkut di saluran usus kanak-kanak itu.
Pada peringkat awal, doktor memilih kaedah rawatan konservatif memandangkan Qian tidak menunjukkan gejala serius. Ubat untuk merangsang cirit-birit telah diberikan dengan harapan jongkong emas itu dapat dikeluarkan secara semula jadi.
Namun, selepas dua hari berlalu tanpa sebarang perubahan, pemeriksaan susulan melalui X-ray mengesahkan bahawa objek berkenaan masih berada di tempat asal dalam badannya.
Memandangkan risiko tinggi berlakunya halangan atau kebocoran pada saluran usus, pasukan perubatan mengambil keputusan untuk menjalankan pembedahan segera bagi mengeluarkan jongkong emas tersebut.
Bagi mengelakkan pembedahan terbuka yang lebih invasif, doktor memilih kaedah endoskopi – teknik pembedahan yang melibatkan peralatan khas untuk mengeluarkan objek asing tanpa memerlukan potongan besar.
Prosedur tersebut mengambil masa hanya 30 minit dan dikendalikan oleh dua orang pakar bedah, meskipun proses pengeluaran agak mencabar disebabkan saiz jongkong yang besar dan permukaannya yang licin.
Dua hari selepas pembedahan, Qian dibenarkan kembali kepada diet normal dan tidak lama kemudian dibenarkan keluar dari hospital selepas disahkan tidak mengalami sebarang komplikasi akibat insiden itu. – ANN/The Star
